suria

1MDB: Dakwa Najib Sabotaj Sistem Kewangan - Dr M

Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu mereka yang terlibat dalam menubuhkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk perdana menteri harus didakwa mensabotaj sistem perbankan dan kewangan negara.

Menerusi posting terbaharu di laman blognya chetdet.cc pada Isnin, Dr Mahathir berkata Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB perlu bertanggungjawab menubuhkan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu dan membuat pinjaman sebanyak RM42 bilion, melabur dan menghilangkan wang tersebut.

"1MDB mungkin menjual tanah 60 Ringgit kaki persegi yang dibeli daripada kerajaan pada 5000% di atas harga pembelian dan membayar semula pinjaman. Namun, hakikatnya meskipun 1MDB tidak ditubuhkan, sejumlah wang besar yang dipinjam tidak sepatutnya hilang.

"Atas sebab ini, 1MDB dan mereka yang bertanggungjawab masih perlu didakwa kerana menyalahgunakan sistem perbankan dan kewangan dan membuat pembayaran balik pinjaman walau apa pun," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau keliru dengan kenyataan Peguam Negara bahawa Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang didakwa kerana mensabotaj sistem perbankan dan kewangan negara ini.

"Saya menganggap laporan mereka kepada pihak polis di UK, Switzerland dan Hong Kong di mana transaksi berlaku adalah asas pada dakwaan perbuatan sabotaj tersebut," katanya.

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa laporan media asing berhubung wujud penipuan membabitkan 1MDB telah didedahkan sebelum Khairuddin melaporkannya.

"Laporan berita ini bukan laporan kasual tetapi penerangannya amat terperinci mengenai apa dan siapa yang terlibat. Mereka melaporkan mengenai apa yang dikenali ramai di seluruh dunia," katanya.

Beliau turut mempertikaikan mengapa tiada laporan dinafikan oleh 1MDB atau Kementerian Kewangan.

"Oleh kerana kesan yang diwujudkan mengenai dakwaan salah laku Malaysia dalam sistem perbankan dan kewangan boleh mengakibatkan hilangan keyakinan terhadap politik, ekonomi dan kewangan negara, mengapa ia tidak dinafikan?," katanya.

Dr Mahathir turut menggesa wartawan yang melaporkan 1MDB didakwa mensabotaj.

"Namun sekiranya tiada 1MDB dan tiada pinjaman sebanyak RM42 bilion, media tidak akan melaporkannya atau tiada sebarang laporan polis dibuat. Adakah laporan media itu dianggap sebagai sabotaj," soal beliau.

Pada 13 Oktober lalu, Khairuddin dan peguamnya didakwa cuba mensabotaj sistem perbankan dan kewangan negara di bawah Seksyen 124 (L) Kanun Keseksaan.

Artikel Lain