suria

Ahli Parlimen Mengeluh Terlalu Ramai Wartawan Buat Liputan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dengan lantangnya  meminta Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk mengkaji semula bilangan kakitangan media yang dibenarkan membuat liputan di Parlimen.

Tiong berkata walaupun media memainkan peranan penting untuk menghubungkan Ahli Parlimen dengan rakyat, bilangan wartawan yang membuat liputan pada persidangan itu terlalu ramai sehingga menimbulkan soal keselamatan.

"Media adalah mata kepada Parlimen tetapi kita tidak boleh membiarkan sesiapa sahaja yang mendakwa mereka dari media untuk memasuki Dewan.

"Kita harus memandang serius perkara ini," katanya apabila membahas ucapan Bajet 2016.

Tiong berkata semasa pembentangan Bajet 2016, kira-kira 400 pengamal media hadir untuk membuat liputan apabila kebiasaannya jumlah mereka sekitar 100.

"Saya mencadangkan agar Speaker meneliti semula perkara ini. Mungkin pada persidangan akan datang, Speaker boleh berbincang dengan ogranisasi media mengenai bilangan wartawan yang dibenarkan untuk membuat liputan," katanya.


wartawan, Parlimen, Tiong King Sing

Artikel Lain