suria

Tony Pua Perlu Berani Sahut Cabaran Debat Arul Kanda

IPOH: Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua perlu menyahut cabaran berdebat dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Pua kini tidak mempunyai sebarang alasan untuk menolaknya selepas Arul Kanda hari ini mengumumkan kesediaan bersemuka dengan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) daripada DAP itu secara langsung di televisyen berhubung isu 1MDB tanpa sebarang syarat.

"Oleh kerana Tony Pua membuat berbagai-bagai tuduhan tanpa bukti dan sebagainya, saya harap Tony Pua menyahut cabaran Arul Kanda ... jangan jadi pengecut, dia mesti berani sahut cabaran itu," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra dengan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, Sabtu.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata demi keadilan, Pua harus meletakkan jawatannya dalam PAC sekiranya mahu berdebat dengan Arul Kanda kerana PAC sedang menyiasat 1MDB.

"Bagi saya, dia sepatutnya letak jawatan sebagai anggota PAC, soal Arul Kanda tak nak letak syarat maknanya dia berani untuk berhadapan dengan Tony Pua.

"Saya harap tak ada lagi alasan-alasan lain daripada Tony Pua untuk tidak berdebat dengan Arul Kanda," katanya.

1MDB, Arul Kanda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain