suria

Pengurangan Bajet Latih IPTA Lebih Efisien

KUANTAN: Pengurangan peruntukan kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam Bajet 2016 dilihat mampu melatih pihak universiti supaya lebih efisien dalam melaksanakan program masing-masing.

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim berkata pengurangan tersebut dilihat satu cabaran untuk IPTA bertindak lebih kreatif bagi memajukan sektor pendidikan tinggi negara dalam merealisasikan pelan strategik universiti mengikut perancangan.

"Kita perlu bersyukur kerana kerajaan masih mampu mengeluarkan bajet yang membolehkan universiti terus beroperasi dengan berkesan.

"Untuk UMP sendiri, pemberian status autonomi pada bulan lepas merupakan antara pengupaya utama transformasi dalam menjadikan universiti ini lebih kompetitif untuk menjana pendapatan sendiri," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Menurut Daing, pemberian status autonomi itu juga membuktikan keupayaan UMP emikul tanggungjawab dalam beberapa aspek tertentu dengan penuh berintegriti antaranya tadbir urus institusi, kewangan, sumber manusia dan akademik.

UMP katanya juga telah melaksanakan perbelanjaan berhemat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan menggunakan kemudahan guna sama serta mengamalkan beberapa inisiatif penjanaan sumber dalaman sendiri.

Selain itu, inisiatif MyGift UMP juga diperkenalkan dalam melaksanakan endowmen dan tabungan sebagai dana bagi mengadakan pelbagai aktiviti seperti penyelidikan serta menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang.

Katanya, amalan berjimat dan usaha menjana kewangan itu dilaksanakan bagi  memastikan universiti tidak perlu menaikkan yuran pengajian.

Beliau percaya menerusi budaya endowmen itu boleh memupuk amalan menyumbang dan kurang bergantung kepada kerajaan serta dapat memberi bantuan biasiswa atau sokongan kepada aktiviti penyelidikan dan inovasi.

Bajet 2016

Artikel Lain