suria

Warga Indonesia Didakwa Miliki Bahan Penerbitan Kumpulan Pengganas

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia pada Khamis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan memiliki bahan penerbitan yang mempunyai kaitan dengan perbuatan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Hani Yahya, 39, yang bekerja sebagai perunding syarikat minyak dan gas didakwa memiliki beberapa penerbitan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas iaitu Al-Qaeda in the Arabian Peninsula atau AQAP.

Dia yang berketurunan Arab didakwa melakukan kesalahan itu di perkarangan Kondominium Casa Mutiara, Jalan Hang Isap, Bukit Bintang, di sini pada pukul 9 malam, 24 September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana bahan penerbitan tersebut jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hanya mengangguk sebagai tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zura Syazween Hamizan.

Majistret menetapkan 11 Disember untuk sebutan semula kes sementara menunggu izin untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh yang memakai singlet warna putih dan mempunyai tatu di seluruh lengannya kemudian dibawa ke Penjara Sungai Buloh untuk direman. - Bernama

Al-Qaeda, Arabian Peninsula

Artikel Lain