suria

Jerebu: Jakim Minta Semua Masjid Buat Solat Hajat Esok

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat sejurusselepas solat Jumaat esok bagi memohon agar kualiti udara kembali pulih.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata beliau juga telah meminta masjid utama di bawah kelolaan Jakim iaitu Masjid negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta seluruh masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk turut menunaikan solat hajat.

"Saya juga memohon kerjasama pihak majlis agama Islam negeri dan jabatan agama Islam negeri agar dapat mengadakan solat hajat di seluruh masjid dan surau di bawah seliaan masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Setakat pukul 10 pagi tadi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus merosot dengan enam kawasan mencatatkan bacaan sangat tidak sihat melebihi 200, manakala 27 kawasan lagi dengan bacaan tidak sihat iaitu melebihi 100.

Bacaan IPU tertinggi dicatatkan di Seberang Jaya 2, Perai iaitu 280, Bakar Arang, Sungai Petani (252), Kangar (247), USM, Pulau Pinang (244), Langkawi (242) dan Alor Setar (236).

Jakim, Solat Hajat

Artikel Lain