suria

Rumah Warga Emas Dibaling Bahan Letupan

GEORGE TOWN: Sebuah rumah yang didiami seorang warga emas di Solok Sungai Pinang, Jelutong di sini dibaling bahan letupan sehingga menyebabkan siling luar bahagian depan rumah jiran lelaki itu pecah dalam kejadian malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 malam itu, mangsa yang berusia 77 tahun itu berada di dalam rumahnya dan tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat dari luar kediaman berkenaan.

"Lelaki itu keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku dan mendapati terdapat kesan serpihan kertas bertaburan di atas jalan hadapan rumahnya serta serpihan bahan letupan di hadapan rumah pengadu dan jirannya," katanya di sini Rabu.

Beliau berkata warga emas berkenaan percaya perbuatan membaling bahan letupan di rumahnya itu dilakukan oleh pihak tertentu berikutan masalah hutang anak lelakinya.

"Menurut mangsa, sebelum ini rumahnya pernah disimbah cat disebabkan masalah hutang anak lelakinya yang telah melarikan diri dan tidak tahu di mana dia berada. Warga emas itu juga tidak tahu anak lelakinya berhutang dengan siapa," katanya.

Mior Faridalatrash berkata mangsa tidak nampak siapa yang membaling bahan letupan itu.

Pemeriksaan awal juga mendapati tiada CCTV di kawasan berkenaan.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan dan beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - BERNAMA 


warga emas, bahan letupan

Artikel Lain