suria

Ahli Parlimen Sokong Penguatkuasaan Gesa Tangani Jerebu Rentas Sempadan

Matahari kelihatan merah akibat jerebu teruk yang menyelubungi ruang udara pada Rabu. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen (MP) pada Rabu menggesa kerajaan menangani masalah jerebu merentasi sempadan yang semakin meruncing sejak kebelakangan ini.

Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN perlu mendesak Indonesia mengambil tindakan serius terhadap syarikat perladangan yang melakukan pembakaran terbuka termasuk dari negara ini.

"Ketika ini, jerebu masih terus membelenggu negara kita dengan beberapa kawasan berada pada bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) tidak sihat. Sampai bilakah kita perlu bernafas dalam asap (jerebu) menghadapi situasi ini saban tahun dan masalah jerebu rentas sempadan ini belum dapat diselesaikan sehingga kini," katanya.

Ikmal Hisham berkata demikian ketika membahaskan usul jerebu yang dibawa Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau percaya Malaysia bijak menggunakan hubungan diplomatik terutamanya dengan Indonesia dalam mencari jalan penyelesaian selain mengkaji peruntukan undang-undang lebih berat untuk dikenakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab serta memperhebatkan penguatkuasaan membanteras pembakaran terbuka.

Ong Kian Ming (DAP-Serdang) pula berharap kementerian terbabit mengkaji sistem bacaan IPU yang terkini mengikut situasi semasa seperti spesifikasi yang diguna pakai di Singapura.

Mohd Hatta Md Ramli (Amanah-Kuala Krai) turut meminta kerajaan bertegas dalam hal situasi itu dengan mencari pendekatan terbaik memandangkan jerebu turut mengakibatkan persekolahan dan lapangan terbang ditutup.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulungkan usul itu berkata Malaysia serius untuk mencari penyelesaian kekal kepada masalah jerebu rentas sempadan itu.

Wan Junaidi berkata Malaysia masih menjalankan perbincangan dengan kerajaan Indonesia untuk merangka perjanjian persefahaman (MoU) di peringkat hubungan dua hala untuk menangani masalah itu.

"Malaysia serius untuk menandatangani MoU jerebu dengan Indonesia selepas 20 Julai lepas tetapi belum lagi dimuktamad oleh Indonesia.

"Malaysia mahu tambah dua terma iaitu komitmen dan kebertanggungjawaban yang lebih jelas diperkukuh untuk menangani jerebu rentas sempadan dan tindakan undang-undang yang boleh diambil sekiranya pihak terbabit gagal melaksanakan MoU itu," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa teknologi dan kaedah bacaan IPU yang sedang diguna pakai negara kini, menepati piawaian berdasarkan standard protokol antarabangsa United States Environmental Protection Agency (USEPA).

Persidangan Dewan Rakyat bersambung pada Khamis. - BERNAMA

jerebu, MP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain