suria

Ribuan Pemandu Teksi Rancang Demo 18 November

KUALA LUMPUR: Ribuan pemandu teksi dijangka akan mengadakan tunjuk perasaan terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 18 November depan.

Kumpulan itu dijangka berkumpul di tiga lokasi seawal pukul 10 pagi sebelum berarak di jalan-jalan di Kuala Lumpur ke lokasi yang tidak diketahui, kata penganjur acara itu.

"Kami tidak mahu menentang kerajaan. Apa yang kita akan lakukan pada 18 November ini adalah bagi mendapatkan perhatian kerajaan," kata Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia Kamarudin Mohd Hussain pada Rabu.

Kamarudin sebelum itu berucap di hadapan lebih 100 pemandu teksi pada majlis anjuran Jawatankuasa Tindakan Pemandu Teksi Lembah Klang.

Tambah beliau kumpulan pemandu teksi akan berkumpul di Padang Merbok, Masjid KL dan Kompleks Kraf di Jalan Conlay.

Selain itu beliau menjangkakan lebih 6,000 pemandu teksi akan menyertai tunjuk perasaan itu.

Katanya lagi beliau percaya ada diantara mereka turut akan memberi tekanan kepada Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar supaya meletak jawatan.

Kamarudin mendakwa SPAD gagal menjaga industri teksi di negara ini dan membiarkan penguasaan perkhidmatan Uber dan GrabCar.

"Kita tidak mahu SPAD dibubarkan, tetapi kepercayaan terhadap Syed Hamid telah hilang," kata Kamarudin.

Apabila ditanya sama ada mereka mendapat permit daripada pihak polis, Kamarudin berkata permit masih belum diperolehi.

SPAD, Kamarudin Mohd Husain

Artikel Lain