suria

Shah Alam Kekal Rekod IPU Sangat Tidak Sihat

KUALA LUMPUR: Shah Alam, Selangor kekal dengan rekod bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat sejak pagi tadi sehingga 1 tengah hari Rabu.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), pada pukul 9 pagi, Shah Alam mencatatkan IPU 226, namun meningkat menjelang 1 tengah hari ke 233.

Pelabuhan Klang turut mencatatkan IPU sangat tidak sihat untuk tiga jam bermula pukul 10 pagi sehingga 12 tengah hari, namun ia kembali kepada bacaan tidak sihat pada 1 tengah hari dengan bacaan 200.

Sementara itu, sebanyak 31 kawasan mencatatkn IPU tidak sihat antaranya Alor Setar (141), Langkawi (145) di Kedah; Nilai (152), Seremban (154) di Negeri Sembilan; Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh di Ipoh (151), Seri Manjung (150) di Perak dan Kangar di Perlis (146).

Kawasan lain ialah Seberang Jaya 2 di Perai (150), Universiti Sains Malaysia (153) di Pulau Pinang; Sri Aman di Sarawak (156); Banting (189), Kuala Selangor (154), Petaling Jaya (187) di Selangor dan Putrajaya (194).

Kuala Lumpur juga turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu di Batu Muda (182) dan Cheras (155).

Sebanyak 20 kawasan mencatatkan IPU sederhana termasuk Muar (89), Pasir Gudang (92) di Johor; Tanah Merah di Kelantan (94); Balok Baru di Kuantan, Pahang (74); Tawau dan Bintulu di Sabah (masing-masing 93); Miri di Sarawak (80); Kemaman (86), Kuala Terengganu (99) dan Labuan di Wilayah Persekutuan (62).

Tiada bacaan IPU bagi kategori baik setakat ini direkodkan.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Shah Alam, IPU

Artikel Berikut

Artikel Lain