suria

Arkib Negara Kesal Tok Janggut Dianggap Derhaka

Azemi Abdul Aziz

BACHOK: Arkib Negara kesal dengan tindakan segelintir pihak luar memutarbelitkan fakta sebenar sejarah dengan melabel dan menganggap pejuang kemerdekaan tanah air seperti Tok Janggut sebagai penderhaka.

Ketua Pengarah Arkib Negara Azemi Abdul Aziz berkata tokoh berkenaan sering diberi gambaran negatif dalam versi Barat.

"Walhal kewujudan tokoh seperti Tok Janggut merupakan manifestasi daripada rasa tidak puas hati terhadap undang-undang dan cara pentadbiran British yang menentukan perjalanan pentadbiran negeri dan kehidupan rakyat," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Memperingati 100 Tahun Tok Janggut di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini, Rabu yang dirasmikan Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed dan turut dihadiri lebih 300 pelajar.

Tujuh kertas kerja dibentangkan oleh tokoh sejarah, antaranya Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria dari Universiti Malaya, Prof Harun Daud (UMK), Dr Mohamad Samsudin (Universiti Kebangsaan Malaysia), Dr Nik Haslinda Nik Hussain (Universiti Sains Malaysia) dan Savumthararaj a/l Gopal dari Arkib negara Malaysia.

Dalam pada itu, Azemi berkata Arkib Negara bertanggungjawab mengumpul, memelihara dan menyediakan rekod dalam pelbagai jenis dan bentuk untuk rujukan penyelidik dan orang ramai.

Agensi itu turut mengamalkan pintu terbuka kepada penyelidik yang ingin menjalankan kajian terutama terhadap kajian baharu.

"Melalui seminar seperti ini, hasil kajian dan rakaman program akan diterjemahkan ke dalam bentuk penulisan dan akan disimpan oleh Arkib Negara untuk rujukan penyelidik pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Mortaza ketika berucap merasmikan seminar itu berkata ia memberi kesedaran kepada pelajar di pusat pengajian tinggi untuk menghayati perjuangan tokoh kemerdekaan negara yang sanggup menggadai nyawa mempertahankan maruah bangsa Melayu dan agama Islam.

Beliau berkata Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK diharap dapat memainkan peranan penting menyemarakkan pengajaran dan penyelidikan yang berkaitan perjuangan tokoh dan pemimpin yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Penentangan Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mat Hassan Panglima Munas di Pasir Puteh pada 1915, adalah sebagai tanda protes yang ditunjukkan kepada penjajah yang mengutip pelbagai cukai sehingga membebankan rakyat.

Arkib Negara, Tok Janggut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain