suria

Penjawat Awam Johor Diminta Mantapkan Inovatif Dalam Perkhidmatan

Gambar hiasan

JOHOR BAHARU: Penjawat awam di negeri ini diminta supaya memantapkan pendekatan inovatif dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam yang dilihat sangat mendesak ketika ini.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana masyarakat hari ini semakin cerewet dan mendambakan kecekapan yang lebih mantap daripada perkhidmatan awam selain dipengaruhi perubahan masa dan keadaan.

"Wujud jurang yang sangat luas dalam sistem tatakelola perkhidmatan awam jika dibandingkan dengan sektor swasta.

"Ekonomi kita semakin dinamik, semakin berasaskan inovasi dan tidak hanya bersandarkan kepada sumber alam serta hasil bumi. Maka, sistem perkhidmatan awam yang tidak dikemaskini akan hanya merumitkan pertumbuhan dan transformasi ekonomi Malaysia," katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Sektor Awam Peringkat Johor kali ke-28, di sini malam Selasa.

Beliau berkata terdapat pelbagai cabaran utama yang mesti diselesaikan jika perkhidmatan awam benar-benar serius untuk meraikan inovasi dan kreativiti dalam sektor tersebut.

Katanya cabaran itu termasuk bersifat keterbukaan terhadap sesuatu idea yang baharu dan tahap kesediaan untuk beralih ke dunia digital.

Menurut Mohamed Khaled, membudayakan inovasi dan kreativiti dalam perkhidmatan awam bukan mudah malah inovasi dan kreativiti itu hanya akan sekadar menjadi siulan sekiranya perkhidmatan awam tidak bersedia bersikap terbuka mengenainya.

Dalam kesediaan untuk beralih kepada dunia digital pula, perkhidmatan awam mesti memastikan sistem perkhidmatan mereka benar-benar beroperasi berlandaskan sistem digital, terkini serta sesuai dengan arus teknologi semasa, katanya.

"Wujudkan juga ruang untuk penjawat awam meneroka idea-idea di luar kelaziman dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Jangan terlalu tertutup dengan cara lama, mesti berani mengambil risiko, berani mencuba sesuatu yang baharu dan berani mengambil tanggungjawab kolektif," katanya.

Sementara itu, 25 kumpulan daripada 21 jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini menyertai pertandingan Konvensyen KIK berkenaan dengan kumpulan IDEAL dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merangkul johan kategori teknikal menerusi inovatif Mesin Rawatan Air Mudah Alih@Ide-Aqua.

Kumpulan V-Team dari Majlis Perbandaran Kluang pula memenangi johan kategori pengurusan menerusi ciptaan sistem pengurusan E-Vosc yang berfungsi sebagai pentaksiran cukai secara sistematik dengan kedua-dua kumpulan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 serta trofi iringan.

Penjawat Awam, Johor

Artikel Sebelum

Artikel Lain