suria

Penyertaan PLKN Secara Sukarela Menjelang 2019 - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan penyertaan berkonsepkan sukarela untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menjelang 2019.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Husssein berkata sasaran ini dibuat berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima dalam projek perintis yang sedang berlangsung pada masa ini.

"Kita akan lakukan secara berperingkat bagi mencapai penyertaan kesukarelaan PLKN menjelang 2019.

"Kalau kita lakukan sekali gus, tak jalan…," katanya pada sidang media di lobi Parllimen di sini, Rabu.

Hishammuddin yang juga ahli Parlimen Sembrong berkata, apa yang perlu dilakukan oleh kementerian pada masa ini ialah meyakinkan semua pihak yang terlibat terutamanya ibu bapa dan pelatih.

"Saya percaya lama-kelamaan mereka akan yakin dan percaya dengan manfaat yang akan diperolehi dengan menyertai program ini. Ia mengambil masa," katanya.

Mengulas mengenai Projek Perintis Transformasi Program Khidmat Latihan Negara (PLKN) 2.0  yang diadakan di Kem Princess Haliza, Sepang bermula 17 Oktober lalu, beliau berkata seramai 75 peratus daripada yang menyertainya terdiri daripada pelatih sukarela.

"Mereka membuat permohonan dalam talian. Penyertaan 75 peratus adalah di luar jangkaan kita," katanya.

Projek perintis PLKN ini melibatkan 410 pelatih bertujuan menguji keberkesanan kedua-dua fasa dalam PLKN iaitu iaitu Fasa 1 Model Pembelajaran Bersepadu dan Fasa 2 Latihan Kemahiran.

PLKN dijadualkan dilaksanakan semula pada 18 Januari 2016 selepas ditangguhkan pada tahun ini.

PLKN, Dewan Rakyat

Artikel Berikut

Artikel Lain