suria

Bajet 2016: Sediakan Baucar Beli Barang Keperluan Untuk BR1M

PETALING JAYA: Kerajaan disarankan menyediakan baucar bagi pembelian barangan keperluan sebagai sebahagian daripada kaedah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan terus disalurkan menerusi pembentangan Bajet 2016.

Penganalisis ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Baayah Baba berkata, penggunaan baucar itu bertujuan untuk memastikan BR1M dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima bantuan berkenaan.

“Contohnya kalau kerajaan beri BR1M sebanyak RM1,200, ia boleh diagihkan sebanyak RM300 untuk baucar manakala RM900 lagi secara tunai. 

"Dengan cara ini, penerima BR1M akan menggunakan bantuan itu sepenuhnya dengan membeli barangan keperluan terutama ketika berhadapan dengan kenaikan harga barang,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Dilaporkan, kerajaan akan terus menyalurkan BR1M dengan kenaikan jumlah peruntukan lebih tinggi pada tahun depan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, perkara tersebut akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat ini.

Dr Baayah Baba.

Dr Baayah berkata, baucar tersebut dicadangkan untuk penggunaan bagi pembelian di semua Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di seluruh negara.

Katanya, hal ini kerana usaha kerajaan untuk mewujudkan KR1M adalah mengurangkan bebanan golongan berpendapatan rendah yang terpaksa menampung kos sara hidup yang tinggi terutama di kawasan bandar.

“Rakyat berpeluang berbelanja dengan kos lebih rendah di KR1M berbanding di kebanyakan kedai dan pasar raya lain. Jadi, ia seiring dengan matkamat BR1M,” kata Dr Baayah yang menjangkakan Bajet 2016 akan terus mensejahterakan rakyat.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Yusof Abdul Rahman pula berkata, cadangan penggunaan baucar bagi pembelian barangan keperluan disambut baik untuk memastikan matlamat BR1M mencapai sasaran. 

Yusof Abdul Rahman.

Beliau bagaimanapun berpendapat bahawa agihan BR1M adalah lebih bermanfaat sekiranya ia dapat memberi lebih tumpuan kepada penggunaan baucar berbanding wang tunai.

“Contohnya, kalau BR1M diperuntukkan sebanyak RM1,200, kerajaan seharusnya memperuntukkan 70 sehingga 80 peratus dalam bentuk baucar manakala bakinya secara tunai.

“Mungkin ada yang suka dan tidak suka dengan kaedah ini, tetapi Kita tak nak orang anggap BR1M sekadar 'suka-suka' sampai jadikan ia sebagai 'gula-gula'. Kita mahu pemberian BR1M oleh kerajaan dapat dimanfaatkan bagi menampung kos sara hidup,” katanya. 

Bagaimanapun katanya, penggunaan baucar itu tidak dihadkan kepada KR1M sahaja malah dapat dibelanjakan di kebanyakan kedai atau pasar raya seluruh negara.

“Bukan semua tempat ada kemudahan KR1M dan malah terdapat juga kedai dan pasar raya yang menawarkan barangan pada harga murah.

“BR1M ini adalah kemudahan rakyat untuk golongan berpendapatan rendah, jadi adalah lebih sesuai untuk turut memudahkan mereka,” kata Yusof.  

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain