suria

Devamany Umum Tanding Jawatan Timbalan Presiden MIC

S.K Devamany.

IPOH: Datuk Seri S.K Devamany pada Khamis mengumumkan bahawa beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden MIC pada pemilihan semula parti itu, November ini.

Devamany mendakwa keputusan yang dibuat itu mendapat sokongan anggota parti termasuk di peringkat akar umbi.

"Keputusan ini dibuat selepas saya menjelajah seluruh negara, kalau tiada sokongan kita tidak akan membuat keputusan. Kita duduk di sini dan lafaz (umum) atas dasar keyakinan," katanya.

Devamany mengumumkan perkara itu pada sidang media di sini, Khamis.

Katanya Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah meminta Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Interim 2009 MIC untuk melaksana semula proses pemilihan parti itu.

Ditanya mengenai persaingan dengan calon lain, Devamany berkata: "biarlah...persaingan itu hebat kerana lumrah dan adat pertandingan mesti ada perjuangan".

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Perak berkata apa yang penting adalah untuk mengembalikan sokongan masyarakat India terhadap parti itu agar ia kukuh dan kekal relevan.

Dengan pengalaman sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 2009 hingga 2013, Devamany berkata beliau akan membantu Presiden MIC mengadakan program sosioekonomi untuk masyarakat India. - BERNAMA


S.K Devamany, MIC

Artikel Sebelum

Artikel Lain