suria

Abu Kassim Jamin Siasatan Telus

Abu Kassim memulakan tugas pada Selesa selepas memutuskan untuk memendekkan cuti sakitnya.

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pihaknya akan mengutamakan aspek ketelusan dalam menjalankan siasatan kes berprofil tinggi.

"Kami akan maklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa. Saya tahu orang ramai mahu SPRM lebih telus kerana mereka ingin tahu apa yang kami lakukan.

"Pada masa sama, beri ruang dan masa untuk kami lengkapkan siasatan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pengarah SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di sini, Selasa.

Pada Isnin, Abu Kassim mengumumkan beliau memendekkan cuti sakitnya untuk kembali bertugas dan memberi tumpuan kepada tugas kerana masih ada yang belum diselesaikan.

Sebelum ini, Abu Kassim menjalani pembedahan belakang dan diberi cuti rehat sejak lebih sebulan lalu.

Pada hari sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Seri Zakaria Jaafar berkata, suruhanjaya itu sedang menyiasat individu paling berkuasa di negara ini.

Individu berkenaan disiasat berkaitan SRC International Sdn Bhd, syarikat dibawah Kementerian Kewangan yang mempunyai hubungan dengan sejumlah RM2.6 bilion, kata Zakaria ketika menyampaikan ucapan persaraannya.

Selain itu, Zakaria juga menggesa Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali supaya mengaktifkan semula pasukan tindakan khas bagi menyiasat kes berkaitan 1MDB.



SPRM, Abu Kassim Mohamed

Artikel Lain