suria

Mahkamah Tinggi Dengar Permohonan Semakan Kehakiman Terhadap Mais 12 Nov

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin menetapkan 12 November untuk mendengar permohonan semakan kehakiman difailkan Sisters In Islam (SIS) bagi mencabar keputusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. 

Timbalan Pendaftar, Nor Hasniah Ab Razak menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Rafeeza Hamdan mewakili SIS serta dua pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar dan Datuk Seri Zaid Ibrahim, manakala MAIS diwakili peguam Majdah Muda. 

Majdah memberitahu pemberita, permohonan itu akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Asmabi Mohamad.  

Mahkamah turut menetapkan 26 Oktober untuk pengurusan kes berkenaan.  

Pada 10 Disember tahun lepas, Hakim Asmabi memberi kebenaran kepada permohonan SIS Forum (Malaysia) atau lebih dikenali sebagai SIS bagi satu prosiding semakan kehakiman selepas menolak bantahan awal Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Mais dan Kerajaan Selangor yang dinamakan sebagai responden. 

Asmabi ketika membuat keputusan itu berkata, SIS, Zainah Mahfoozah dan Zaid selaku pemohon berjaya membuktikan permohonan mereka tidak bersifat remeh- remeh.

Pada 31 Oktober lepas, SIS atau SIS Forum (Malaysia) memfailkan permohonan itu bagi memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Mais yang menyatakan bahawa organisasi itu dan mana-mana individu serta kumpulan yang kononnya "berpegang dengan fahaman liberalisme dan pluralisme agama" sebagai "sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam".  

Mereka juga memohon deklarasi bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Mais melalui fatwa tersebut yang mengarahkan penyekatan laman-laman sosial adalah bercanggah dengan Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.  

Mereka juga memohon deklarasi bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Mais melalui fatwa itu adalah ultra-vires dengan Perkara 10,11, 74, Jadual kesembilan Senarai I dan II Perlembagaan Persekutuan. 

Selain itu, mereka turut memohon deklarasi bahawa SIS yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai syarikat berhad menurut jaminan adalah tidak tertakluk dan bukan subjek kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Mais.

Mais

Artikel Lain