suria

Pegawai Polis Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Salah Guna Kuasa

KOTA KINABALU: Seorang pegawai kanan polis pada Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dalam pemberian tender pembekalan makanan bernilai RM432,000 kepada anak saudaranya tahun lepas.

ACP Abd Radzak Abd Ghani, 54, dituduh secara rasuah menggunakan jawatannya sebagai Ketua Jabatan Logistik Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, memilih Syarikat Fulscale Development milik anak saudaranya, Sharial Taufan Nerawi untuk mendapatkan tender membekal makanan kepada tahanan di lokap IPD Kota Kinabalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sebagai Ahli 1 dalam Mesyuarat Penilaian Sebut Harga Bilangan KPD Kota Kinabalu di Bilik Mesyuarat Pejabat Pesuruhjaya Polis Sabah, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah pada 1 April 2014 pada kira-kira 11.30 pagi.

Abd Radzak, dituduh di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Penolong Pesuruhjaya SPRM, Awang Samsul Baharam Bungso menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan deposit RM8,000 oleh seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh Zahir Shah memohon deposit jaminan dikurangkan kepada RM5,000 memandangkan tertuduh seorang penduduk tempatan dan masih berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia.

Hakim, Indra Ayub menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan deposit RM5,000 oleh seorang penjamin tempatan.

Mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes pada 12 November manakala perbicaraan pada 10 Disember. - Bernama

Artikel Lain