suria

Jakoa Sedia Program Pemulihan Minda Dua Murid Orang Asli

GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan menyediakan aktiviti pendidikan dan kaunseling kepada dua murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di sini, yang dijumpai selamat setelah mereka hilang di hutan selama 48 hari bersama lima lagi rakan.

Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Nik Man Nik Ya berkata aktiviti berkenaan bagi pengisian masa Norieen Yaakob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 11 sepanjang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Baharu, yang dijangka mengambil masa dua bulan.

Aktiviti penting seperti kaunseling untuk pemulihan minda selain diberi pendidikan menerusi membaca, menulis, mengira dan mewarna untuk mereka berdua melupakan peristiwa hitam yang mereka lalui dan memulihkan kembali semangat mereka, katanya dalam kenyataan media di sini, Isnin.

Nik Man berkata beberapa pegawai Jakoa yang ada kemahiran dalam bidang pemulihan mental ditempatkan di wad murid berkenaan untuk memberi latihan dan pemulihan semangat.

Pihaknya juga akan mendapatkan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan untuk sama-sama menjayakan program berkenaan, katanya.

Norieen dan Mirsudiar ditemui selamat di tebing Sungai Perias, Pos Tohoi, pada Jumaat lepas selepas hilang bersama lima lagi rakan pada Ogos lepas, namun tidak bermaya kerana dehidrasi dan kini dirawat di HRPZII.

Tujuh murid berkenaan dilapor melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos lepas kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas didapati mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Tujuh murid terbabit ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11; - berasal dari Kampung Gawin dan Penad.

Polis mengesahkan Sasa dan Ika meninggal dunia manakala dua rangka kanak-kanak yang ditemui belum dikenal pasti melalui ujian DNA (Deoxyribonucleic acid) manakala satu lagi masih hilang.

Orang Asli, Jakoa

Artikel Berikut

Artikel Lain