suria

Gaji Amah: Papa, Mama Yakin Kerajaan Buat Keputusan Terbaik

KUALA LUMPUR: Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama)  dan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) yakin kerajaan akan membuat keputusan terbaik berhubung tuntutan gaji amah Indonesia pada Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia dan Indonesia di Jakarta, minggu ini.

Kedua-dua persatuan yang dihubungi Bernama pada Isnin berharap perbincangan itu akan tetap memberi kelebihan kepada Malaysia yang banyak menggunakan khidmat pembantu rumah dari republik itu.

Bagaimanapun mereka kekal dengan pendirian bahawa tuntutan gaji bulanan RM1,200 oleh kerajaan republik itu sebagai tidak relevan dan akan menimbulkan pelbagai masalah.

Presiden Mama Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata akan timbul pertikaian mengenai gaji minimum antara pekerja tempatan dan pembantu rumah Indonesia jika permintaan itu dipersetujui.

"(Gaji minimum) kita RM900, orang luar dapat RM1,200. Kita seolah-olah hanya berharap kepada khidmat pembantu rumah dari Indonesia sahaja," katanya.

Engku Ahmad Fauzi turut mempersoalkan mengenai permintaan Kerajaan Indonesia itu khususnya mengenai kualiti pembantu rumah yang dikatakan mempunyai kemahiran bekerja yang minimum.

"Adakah gaji (yang diminta) setimpal dengan kualiti. Setakat mencuci dan mengemas, takkan RM1,200," katanya.

Selain itu beliau berkata Indonesia perlu memberikan jaminan tiada lagi kes pembantu rumah negara itu lari dari rumah majikan jika diberikan gaji seperti yang diminta.

Sementara itu Presiden Papa Jeffrey Foo berkata tidak semua majikan mampu menggaji pembantu rumah sehingga RM1,200 sebulan kerana ia agak membebankan.

"Ini mungkin masa yang tidak tepat untuk Indonesia minta kenaikan gaji. Saya yakin kerajaan akan mengkaji kemungkinan untuk buka sumber pembekalan (pembantu rumah) yang baru dari negara lain jika Indonesia mahu menaikkan gaji," katanya.

Sebelum ini Duta Besar Indonesia di Malaysia Herman Prayinto memaklumkan permintaan gaji lebih tinggi itu adalah antara isu yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan pada Khamis dan Jumaat ini.

Pada Mei lepas, Indonesia menghantar memorandum kepada Kerajaan Malaysia mencadangkan gaji minimum pembantu rumah Indonesia di Malaysia dinaikkan daripada RM700 kepada RM1,200 sebulan bagi menjadikan perkhidmatan domestik itu lebih kompetitif dan mampu bersaing dengan gaji yang ditawarkan oleh negara-negara lain.

Amah Indonesia

Artikel Sebelum

Artikel Lain