suria

Rasuah: Buruh Rohingya Dipenjara Enam Bulan, Denda RM10,000

Buruh binaan etnik Rohingya Mohammad Babul Abd Satar, 27 dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka.

MELAKA: Seorang buruh binaan etnik Rohingya hari ini dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memberi suapan RM100 kepada pegawai Jabatan Imigresen Melaka, bulan lepas.

Hakim Amran Jantan turut memerintahkan Mohamad Babul Abd Satar, 27, dipenjara enam bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa memberi suapan RM100 kepada Pegawai Imigresen Muhammad Aizat Ab Rahim daripada Jabatan Imigresen Melaka sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Mohamad Babul didakwa melakukan kesalahan itu di tapak projek pembinaan sebuah servis apartment Mukim Bukit Katil di sini pada 10.30 pagi, 2 September lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohammed Heikal Ismail dan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Fauzi Shadollah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pertuduhan dibacakan melalui khidmat seorang jurubahasa mahkamah.

Mohamad Babul dalam rayuannya memohon hukuman diringankan kerana beliau penyara tunggal keluarganya yang terdiri daripada isteri, seorang anak, ibu dan bapa yang berada di Myanmar.-- Bernama


Mohamad Babul, rasuah, Rohingya

Artikel Berikut

Artikel Lain