suria

Peguam Najib Tunggu Jawapan Rasmi Dr Ling Sebelum Mula Tindakan Undang-Undang

Datuk Hafarizam Harun
PETALING JAYA: Peguam Datuk Seri Najib Tun Razak akan menunggu sehingga tujuh hari tempoh yang ditetapkan berlalu dan untuk menerima jawapan rasmi daripada Tun Dr Ling Liong Sik sebelum memulakan prosiding undang-undang terhadap bekas Presiden MCA itu.

"Saya akan menunggu sehingga tempoh tujuh hari yang diberikan kepada Tun Dr Ling  berakhir Isnin depan dan mengalu-alukan jawapan rasmi dalam bentuk bertulis diberikan kepada saya sama ada oleh Tun Dr Ling atau peguamnya," kata peguam Najib, Datuk Hafarizam Harun kepada The Star Online.

Pada Rabu, bekas presiden MCA itu mempertahankan gesaannya supaya Najib meletakkan jawatan, menyatakan beliau bersedia untuk mempertahankan dirinya di mahkamah atas kenyataan yang dibuatnya.

"Saya berkata kepada Perdana Menteri, jika anda memilih untuk menyaman saya, saya akan mempertahankan diri saya. Dengan penuh rasa rendah hati, saya menerima cabaran anda.


"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya mempertahankan apa yang telah saya katakan. Saya tidak akan meminta maaf," kata Dr Ling yang juga bekas menteri pengangkutan.

Pada Sabtu, Dr Ling secara terbuka menggesa Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan berkata beliau bersetuju dengan gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Najib meletakkan jawatan.


Dr Ling berkata, beliau menghadiri demonstrasi Bersih di Perth, Australia dan bagi menyokong undi tidak percaya terhadap Najib.

Sebagai tindak balas, Perdana Menteri menghantar surat tuntutan kepada Dr Ling, meminta beliau menarik balik dan membuat permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari berhubung kenyataannya berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Satu surat tuntutan telah disampaikan kepada Dr Ling pada Isnin oleh firma guaman Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak bagi pihak Najib.

Artikel Lain