suria

Malaysia Perlu Dapat Kelulusan Parlimen Sebelum Tandatangani TPPA - Mustapa

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed hadir pada sidang media untuk menerangkan kedudukan dan kemajuan rundingan TPPA (Trans Pacific Partnership Agreement) di Menara Usahawan, Rabu. Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan dan timbalan menteri Datuk Ahmad Maslan. -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia perlu mendapatkan kelulusan Parlimen sebelum menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bercakap pada satu sidang media mengenai TPPA di sini, pada Rabu, beliau menegaskan biarpun rundingan bagi Pakatan Trans-Pasifik (TPP) telah dimuktamadkan, namun Malaysia sebaliknya masih belum menandatangani perjanjian berkenaan.

Malah, katanya, dokumen teks TPP itu hanya dijangka siap pada akhir bulan ini.

"(Dokumen) TPP itu perlu dibentangkan dan dibahaskan terlebih dulu untuk diluluskan. Ini adalah proses lazim di semua negara terbabit," katanya.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau telah memberi mandat dan kepercayaan kepada Mustapa untuk merundingkan kepentingan Malaysia pada rundingan berkenaan.

Usaha rundingan TPPA itu yang pertama kalinya dilancarkan pada 2005, melibatkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Jelas Mustapa, dokumen akhir TPPA itu beserta dua lagi analisis kos dan manfaatnya yang disediakan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan firma PricewaterhouseCoopers Malaysia, juga akan dikemukakan kepada Kabinet dan Parlimen.

Tegasnya, beliau sendiri mahu membentangkan TPP di Parlimen dan mungkin memohon agar diadakan Persidangan Khas Parlimen untuk menjelaskan butiran mengenai perjanjian perdagangan itu, jika perlu.

Sehubungan itu, beliau akan berbincang dengan Speaker pada minggu pertama sidang Parlimen akan datang mengenai tarikh serta masa untuknya membentang serta menerangkan kepada Ahli Parlimen berhubung pendirian Malaysia terhadap TPP berkenaan.

"Ini bergantung kepada Speaker...(pembentangan) Bajet 2016 perlu diutamakan terlebih dulu sebelum kita dapat berurusan mengenai perkara lain," katanya.

Mustapa turut mengakui bahawa mustahil untuk mendapatkan persetujuan 100 peratus mengenai TPPA berkenaan dan ia hanya memerlukan majoriti mudah bagi kelulusan perjanjian perdagangan itu.

Jelasnya, biarpun selepas mendapat kelulusan Parlimen, tempoh dua tahun diperlukan bagi pengesahannya yang turut memerlukan usaha pindaan undang-undang berkaitan tanpa menjejaskan Perlembagaan sebelum TPPA dapat dilaksanakan.

Menurutnya, cabaran utama adalah untuk meyakinkan kalangan Ahli Parlimen mengenai kepentingan menandatangani TPPA bagi manfaat jangka panjang, termasuk aspek pelaburan langsung asing (FDI) dan perdagangan untuk negara.

Ditanya sama ada beliau yakin ia akan mendapat sokongan Ahli Parlimen, Mustapa berkata : "Pada awalnya, memang sukar untuk meyakinkan mereka (termasuk Ahli Parlimen Barisan Nasional) tetapi kini mereka lebih faham dan usaha lebih gigih diperlukan bagi meraih lebih banyak sokongan.

"Menurutnya, Kabinet juga telah mengarahkan kementeriannya untuk mengadakan lebih banyak sesi penerangan bagi menjelaskan TPPA kepada orang ramai," katanya.

Setakat ini, lebih 150 sesi seumpamanya diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas serta kebimbangan mereka yang disifatkan Mustapa sebagai penting bagi usaha rundingan itu.

"Kita juga mengadakan pertemuan yang kerap dengan Kumpulan Kaukus Parlimen mengenai TPP yang bipartisan bagi memaklumkan mereka mengenai perkembangan terkini rundingan," katanya yang turut memberi jaminan kerajaan bersikap telus dan terbuka mengenai rundingan TPP berkenaan.

Kabinet juga katanya, turut mahukan kepentingan mengenai kos menyertai TPPA serta tidak menandatanginya, turut diambilkira.

Artikel Lain