suria

Ongkili Terima Anugerah Kepimpinan Atas Sumbangan Bidang ICT

PETALING JAYA: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menerima anugerah kepimpinan kerana meletakkan industri ICT Malaysia di peta dunia.

Ongkili menerima Anugerah Kepimpinan Pertubuhan Industri Pengkomputeran Asia-Oceania (ASOCIO) oleh pengerusinya Bunrak Saragganda pada Selasa, ketika Majlis Makan Malam Gala, Malam Anugerah ICT, yang dianjurkan oleh Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (Pikom).

Anugerah Kepimpinan ASOCIO diberikan kepada negarawan, presiden, perdana menteri dan pemimpin-pemimpin yang telah membuat perbezaan besar kepada industri ICT tempatan mereka.

Penerima sebelum ini termasuklah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.

Dalam membentangkan anugerah itu, ASOCIO menamakan beberapa misi ICT yang dibawa Ongkili di seluruh dunia, termasuk misi perdagangan Malaysia ke Myanmar, Vietnam, Kemboja bagi menerajui usaha dalam membantu akses sektor swasta pasaran serantau dalam bidang ICT, bioteknologi dan tenaga boleh diperbaharui.

Ongkili juga terkenal dengan sumbangannya dalam membuka pasaran baru di negara-negara membangun.

Persatuan itu berkata Ongkili turut memberikan sokongan penting kepada agensi-agensi yang bertanggungjawab bagi pembangunan ICT di negara ini.
ICT, Pikom, ASOCIO

Artikel Sebelum

Artikel Lain