suria

Tajuddin Berulang Kali Sakiti Perasaan Orang Cina - Liow

Liow Tiong Lai.

KUALA LUMPUR: Semua tindakan bersifat perkauman yang menyakiti perasaan masyakarat Cina perlu dihentikan dengan serta-merta, kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata parti itu akan menyampaikan perkara tersebut kepada Pengerusi Barisan Nasional yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Liow merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mengancam untuk menampar orang Cina yang membuat aduan kepada pihak luar.

"Tajuddin berulang kali mencetuskan provokasi dan menyakiti perasaan orang Cina dan mencabar MCA yang juga mempertahankan masyakarat tersebut," katanya.

Sebuah akhbar bahasa Cina melaporkan Tajuddin sebagai berkata MCA boleh mengadu sehingga ke hujung dunia.

Tajuddin berkata demikian bagi mengulas gesaan pemimpin MCA yang mahu beliau memohon maaf di atas kenyataan tersebut.

Pada minggu lalu, Tajuddin berkata masyakarat Cina perlu berhenti bermimpi bahawa mereka mempunyai 'godfather' dan pelindung yang merujuk kepada China.

"Jawatankuasa Pusat MCA telah membincangkan kes Tajuddin dan kecewa dengan kenyataan beliau.

"Parti ini akan membuat aduan rasmi kepada Pengerusi BN dan Perdana Menteri untuk menyatakan pendiriannya," kata Liow selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat di Wisma MCA di sini Selasa.

Liow berkata Tajuddin perlu bertanggungjawab di atas tindakannya dan rakaman audio berhubung kenyataan tersebut merupakan bukti beliau menjejaskan keharmonian di dalam negara yang berbilang kaum ini.


Artikel Lain