suria

Polis Sahkan Tahan Ahli Parlimen Seremban Hari Ini

SEREMBAN: Polis pada Selasa mengesahkan penahanan Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Foke dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang Ng Chin Tsai bersama-sama 13 yang lain kerana terbabit dalam kekecohan di Kampung Ulu Temiang.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata mereka ditahan pagi Selasa untuk disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam menentukan proses pengambilan tanah di Kampung Ulu Temiang berjalan lancar serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap polis.

"Saya mengesahkan pada hari ini, kira-kira 8.30 pagi Selasa, polis telah membuat tangkapan terhadap 15 individu termasuk dua wakil rakyat.

"Tangkapan lain ialah empat penghuni Kampung Ulu Temiang dan sembilan lagi adalah bukan penghuni kawasan itu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Muhamad Zaki berkata dalam operasi itu, polis bertindak menentukan keselamatan dan pematuhan dalam menguatkuasakan perintah mahkamah, khususnya dari segi keselamatan nyawa dan tiada pelanggaran undang-undang yang berkuat kuasa.

"Pada keseluruhannya, terdapat ramai wakil rakyat, ketua masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkumpul, tetapi mereka tidak menghalang pelaksanaan tugas polis malah memberi kerjasama kepada polis.

"Siasatan masih berjalan dan rakaman percakapan mereka serta saksi-saksi lain akan diambil," katanya.

Dalam kejadian pagi Selasa, Loke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan ditahan selepas terbabit dalam kekecohan berhubung tindakan menghalang pembeli tanah membawa jengkaut untuk merobohkan kediaman penduduk.

Lebih 100 penduduk Kampung Ulu Temiang telah diarah keluar oleh pemilik baharu kawasan itu, One Visa Sdn Bhd, yang membelinya dengan harga kira-kira RM18 juta.


Loke Siew Foke

Artikel Lain