suria

Kes Dr Kunaseegaran Salah Guna Peralatan Hospital Disambung 12 Januari Depan

Dr R. Kunaseegaran.

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menetapkan 12 Januari depan untuk menyambung perbicaraan kes pakar patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) Kolonel Dr R. Kunaseegaran yang menghadapi enam tuduhan salah guna peralatan HATTM tanpa pengetahuan hospital berkenaan.

Hakim Slamat Yahya menetapkan tarikh baharu itu selepas kes berkenaan ditangguhkan sebelum ini berikutan kematian Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais.

Dr Kunaseegaran, 52, yang direman di Penjara Sungai Buloh dekat sini kerana dituduh bersubahat dengan tujuh lelaki lain dalam kes pembunuhan Kevin Morais pada 4 September lepas, turut dibawa ke mahkamah pada Selasa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammed Heikal Ismail dan Pegawai Pendakwa Mahamad Sukri Seman memaklumkan mahkamah bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju dengan tarikh baharu bagi menyambung perbicaraan itu.

Peguam Syazlin Mansor yang mewakili Dr Kunaseegaran mengesahkan perkara itu.

Bagi enam pertuduhan itu, Dr Kunaseegaran didakwa menggunakan harta kepunyaan HATMM termasuk alat 'Microtome', 'Microtome Rotary System' dan 'Circular Parafin Floating Bath' tanpa pengetahuan pihak hospital berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di No 23 dan No 26 Galeri Empire, Jalan Empayar melalui Jalan Sultan Ibrahim, Klang dekat sini pada Jun 2010 dan April 2012.

Jika sabit kesalahan, Dr Kunaseegaran boleh dipenjara sehingga lima tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Pada 28 September lepas, Dr Kunaseegaran didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan bersubahat dengan G. Gunasekaran, 47, R. Dinishwaran, 23, A. Thinesh Kumar, 22, M. Vishwanath, 25, S. Nimalan, 22, dan S. Ravi Chandaran, 44, yang didakwa bersama-sama membunuh Kevin Morais, 55, dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, Sentul, Kuala lumpur, ke No 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya, dekat sini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 7 pagi hingga 8 malam 4 Sept lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dr Kunaseegaran pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama, yang turut membawa hukuman mati mandatori.

Kevin Morais dilaporkan hilang pada 4 September selepas kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana bernombor pendaftaran WA6264Q.

Mayat mendiang ditemui dalam tong dram berisi konkrit di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah dekat sini, pada 16 September lepas. - BERNAMA

Artikel Lain