suria

Hampir 4 Juta Pelajar Tidak Ke Sekolah Akibat Jerebu

Notis penutupan sekolah selama dua hari diletakkan di pintu pagar SMK Seri Ampang Jalan, Kuala Kedah. Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan bahawa semua sekolah di semenanjung Malaysia kecuali di Kelantan diarahakan tutup selama dua hari pada 5 dan 6 Oktober.-foto THE STAR/ZHAFARAN NASIB
ALOR SETAR: Hampir 7,000 sekolah yang mempunyai hampir empat juta pelajar akan ditutup pada Isnin dan Selasa kerana kualiti udara di Semenanjung semakin buruk.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata semua sekolah di Semenanjung Malaysia, kecuali di Kelantan akan ditutup selama dua hari.

Katanya, bagi sekolah-sekolah di Kelantan, Labuan, Sabah dan Sarawak, kementerian akan memantau tahap kualiti udara setiap jam sebelum membuat keputusan mengenai penutupan sekolah di sana.

"Jika empat tempat ini tahapnya merosot , kami akan mengambil langkah yang sama," katanya kepada pemberita di SMK Seri Ampang, Jalan Kuala Kedah, Ahad.

Arahan ini memberi kesan kepada 6,798 sekolah yang mempunyai bilangan murid seramai 3.7 juta pelajar dan lebih dari 300,000 orang guru.

Semua guru dan kakitangan sekolah, kecuali pengawal keselamatan, juga telah diberitahu supaya duduk di rumah.

"Perkara ini perlu ditangani dengan betul dan cepat kerana ia boleh membahayakan anak-anak kita di sekolah," katanya.

Mahdzir berkata sekolah yang diarah tutup kerana jerebu tidak perlu menggantikan kelas.

Beliau juga mengumumkan bahawa peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3, Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia tidak akan ditangguh kerana jerebu.

"Peperiksaan ini akan ditangguhkan hanya jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap mencecah 500 atau tahap 'kecemasan'," katanya.

Mahdzir berkata Jabatan Pendidikan Negeri dan sekolah hendaklah membuat persediaan untuk membekalkan topeng muka kepada pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan.

Persekolahan sesi petang di Kedah, Terengganu dan Johor diteruskan seperti biasa pada Ahad tetapi beberapa sekolah mencatatkan jumlah kehadiran pelajar yang rendah gara-gara khabar angin di media sosial bahawa kelas telah dibatalkan.

Kementerian Pendidikan telah menutup 4,561 sekolah dari sembilan negeri, yang melibatkan 2,617,432 pelajar apabila bacaan IPU mencecah tahap yang tidak sihat dan sangat tidak sihat antara 15 dan 30 September.

Sembilan negeri itu adalah Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Johor, Sarawak dan Perak.

Di KUALA LUMPUR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Selangor membatalkan semua kelas kerana kualiti udara yang semakin buruk.

Dalam satu kenyataan, ia berkata peperiksaan akhir untuk pelajar diploma akan dijalankan seperti yang dijadualkan, sambil menambah kakitangan juga dikehendaki menghadiri kerja seperti biasa.

"UiTM akan terus memantau keadaan dan memastikan pelajar diberitahu dari semasa ke semasa.

"Pengumuman sebarang pembatalan kelas akan dibuat sehari sebelum itu," katanya.

Bagi kampus di negeri-negeri lain, pengumuman akan dilakukan oleh ketuanya.

Kali terakhir darurat telah diisytiharkan akibat jerebu di Semenanjung adalah pada 11 Ogos 2005, yang meliputi Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang.

Bacaan IPU pada masa itu meningkat melebihi tahap berbahaya, lebih dari 500 di kedua-dua kawasan.

Sekolah-sekolah, pejabat-pejabat kerajaan, perniagaan dan pelabuhan ditutup tetapi kedai-kedai yang menjual barang-barang keperluan, pasar raya, klinik dan farmasi tetap dibuka.

Kes terburuk pencemaran udara yang disebabkan oleh jerebu, bagaimanapun, berlaku pada bulan September 1997.

Darurat diisytiharkan di Kuching dan kawasan timur Sarawak apabila bacaan IPU mencapai tahap yang amat berbahaya 839.

Artikel Sebelum

Artikel Lain