suria

UiTM Kampus Selangor Tangguh Kuliah Isnin

PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menangguhkan semua kuliah di kampus Selangor pada Isnin berikutan keadaan jerebu yang melanda negeri berkenaan.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada Ahad.

"Pengurusan Tertinggi UiTM mengambil keputusan untuk menangguhkan semua kuliah di UiTM Selangor yang dijadualkan pada 5 Oktober 2015.

"Seterusnya, penangguhan kuliah pada hari-hari berikutnya akan diumumkan sehari sebelum tarikh penangguhan, berdasarkan pemantauan IPU dari semasa ke semasa," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, penangguhan tersebut hanya melibatkan jadual kuliah, manakala peperiksaan akhir pelajar-pelajar diploma diteruskan mengikut jadual.

"Begitu juga warga kerja dikehendaki hadir bertugas seperti biasa," katanya.

Beliau berkata, bagi kampus-kampus negeri lain pula, pemakluman mengenai penangguhan kuliah berdasarkan bacaan IPU, tertakluk pada keputusan Rektor Kampus masing-masing.

Pada masa sama, semua kakitangan dan pelajar dinasihatkan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang gangguan kesihatan akibat jerebu seperti mengurangkan aktiviti luar, memakai topeng muka dan mengambil air minuman yang mencukupi.

UiTM, jerebu

Artikel Berikut

Artikel Lain