suria

Aidiladha: Aliran Trafik Sesak Di Lebuhraya Utara-Selatan

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan semakin sesak dengan pertambahan kenderaan petang Rabu berikutan ramai warga kota pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidiladha pada Khamis.

Menurut jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Hotline, setakat 6.30 petang Rabu, aliran trafik dari arah utara bergerak perlahan dari Juru ke Permatang Pauh, Sungai Dua ke Bertam, Tapah ke Gua Tempurong.

"Aliran trafik juga sesak dari Simpang Pulai ke Ipoh berikutan lori rosak di KM283.7 menghala ke utara dan kemalangan turut berlaku dari Sungkai ke Bidor di KM348.0," katanya.

Bagi arah selatan pula, aliran trafik dilaporkan sibuk di Pedas Linggi menghala ke arah Simpang Empat, Ayer Hitam ke Yong Peng dan Senai ke Kulai Utara.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata pertambahan kenderaan turut berlaku di Plaza Tol Gombak ke Pantai Timur, Genting Sempah ke Bukit Tinggi dan Plaza Tol Bentong ke arah Pantai Timur.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twittercom/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA

Artikel Lain