suria

Kes Bunuh Kevin Morais: Seorang Lagi Suspek Direman Tujuh Hari

KUALA LUMPUR: Seorang lagi suspek lelaki tempatan yang terlibat dalam kes pembunuhan mendiang Anthony Kevin Morais ditahan reman bermula Rabu sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata suspek berkenaan telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Selasa.

Pada masa sama, tempoh tahanan reman seorang suspek yang ditahan sebelum ini dilanjutkan seminggu lagi mulai Rabu.

Pada Selasa, tempoh reman enam daripada suspek dilanjutkan sehingga Isnin depan.

Setakat ini, 11 suspek telah ditahan reman bagi membantu siasatan kes berprofil tinggi itu.

Dalam perkembangan sama, Zainuddin berkata pasukan forensik hari ini mengunjungi sekali lagi lokasi penemuan mayat mendiang di Sungai Kuala Selangor untuk mendapatkan bahan kes.

Mayat Morais, 55, yang juga merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara ditemui dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini Rabu lepas.

Mendiang dilaporkan hilang pada 4 September dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana nombor pendaftaran WA6264Q. - BERNAMA

Anthony Kevin Morais, bunuh

Artikel Lain