suria

Jamal Yunos Tidak Anjur Perhimpunan Baju Merah - Annuar

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa enggan mengaitkan dirinya dan juga penganjur Himpunan Rakyat Bersatu dengan kumpulan yang diketuai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos.

Beliau berkata Jamal yang mendakwa mengetuai 250 badan bukan kerajaan (NGO) pada perhimpunan 16 September lalu sangat aktif dalam mempromosikan perhimpunan tersebut tetapi tidak pernah terlibat dalam membuat sebarang keputusan.

"Beliau (Jamal) mempunyai agenda sendiri dan membuat pengumuman seperti mahu berarak di Petaling Street, tetapi kami membantahnya.

"Beliau bukan penganjur tetapi mendapat publisiti lebih berbanding penganjur," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Mara di sini, Rabu.

Terdahulu, Jamal memberitahu pemberita di Ampang Jaya bahawa beliau tidak menolak satu lagi perhimpunan akan diadakan di Petaling Street pada hujung minggu ini sekiranya pihak berkuasa gagal mengambil tindakan terhadap peniaga di sana.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata polis tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang mengganggu ketenteraman atau keselamatan awan.

Dalam perkembangan berasingan, Annuar berkata Persatuan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) diminta untuk mengambil alih perhimpunan 16 September itu kerana bimbang ia akan bertukar ganas sekiranya dibiarkan berlangsung sendirian.

Malah, Annuar berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut membantah cadangan perhimpunan tersebut dan mahukan jaminan ia akan berlangsung secara aman.

"Saya duduk dengan (Pengerusi Pesaka) Tan Sri Ali Rustam untuk membincangkan bagaimana untuk mengadakan perhimpunan dibawah satu penganjur kerana terdapat dakwaan penyokong baju merah akan berarak di Bukit Bintang dan Petaling Street.

"Kami memutuskan bahawa perhimpunan itu perlu diadakan di kawasan di mana emosi penyokong boleh dikawal," katanya.

Annuar berkata penganjur memutuskan untuk menggunakan Padang Merbok dan menentukan perhimpunan itu hanya bermula selepas solat Zohor dan berakhir sebelum Magrib.

Beliau berkata polis memberi jaminan bahawa keadaan akan kekal aman selagi garis panduan dan laluan disediakan dipatuhi pihak penganjur.

Jamal Yunos, Annuar Musa, Himpun 16

Artikel Lain