suria

Militan IS Menuju Ke Indonesia Dari Malaysia

PETALING JAYA: Kumpulan militan Negara Islam (IS) bekerjasama dengan sindiket pemerdagangan manusia untuk membawa masuk anggota militan asing ke Indonesia menerusi Malaysia, lapor Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

Ketua Agensi Anti Keganasan Kebangsaan Indonesia, Saud Usman Nasution memberitahu ABC bahawa anggota militan IS tiba di Sumatera dari Malaysia dan dibawa ke Poso, Sulawesi Tengah.

Ia dipercayai kubu latihan untuk kumpulan militan IS.

"Kami melihat beberapa anggota militan asing dari luar negara tiba di Indonesia.

"Pertama, mereka meninggalkan Malaysia dan berlepas ke Pekanbaru (Sumatera) menuju barat Jawa, semuanya dengan bantuan sindiket pemerdagangan manusia. Kemudian dari Puncak mereka akan menuju Makassar dan Poso dengan bantuan rangkaian ISIS.

"Jadi kita perlu sentiasa berwaspada, lebih-lebih lagi terdapat maklumat bahawa ramai anggota militan asing berada di Malaysia dan sedia untuk dikerahkan," kata Saud Usman.

Beliau turut menyifatkan ancaman IS terhadap Indonesia sebagai "amat serius".

"Terdapat banyak kumpulan radikal dan kumpulan militan di Indonesia yang ingin membalas dendam terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai kezaliman dari Barat kepada orang Islam.

"Oleh itu, kita perlu sentiasa berwaspada terutamanya selepas ahli kumpulan tersebut yang berasal dari Iraq dan Syria berlepas menuju ke Indonesia," katanya.

Artikel Lain