suria

Kekecohan Di Petaling Street Kerana Mesej Provokatif - Jamal

Datuk Jamal Mohd Yunus cuba menenangkan penunjuk perasaan yang berhimpun di Petaling Street, Rabu. -foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star
KUALA LUMPUR: Kekecohan antara penunjuk perasaan dan polis di Himpunan Rakyat Bersatu adalah satu kejadian kecil dan berpunca daripada mesej provokatif, kata Presiden Gabungan NGO Melayu Malaysia Datuk Jamal Mohd Yunus.

Dalam sidang akhbar di luar Pusat Dagangan Dunia Putra, Khamis, Jamal mendakwa kumpulan yang dikenali sebagai Otai Reformasi mengedarkan risalah mengandungi mesej provokatif di sekitar Petaling Street pada Rabu dan ia mencetuskan kemarahan beberapa penunjuk perasaan di perhimpunan tersebut.

"Saya telah dipanggil oleh pihak polis. Mereka meminta saya untuk datang dan membantu.

"Kami berunding dan berbincang dengan penunjuk perasaan, dan saya kata, saya akan membantu menyelesaikan masalah mereka," katanya.

Walaupun kumpulan di Petaling Street itu tidak mempunyai kaitan dengan gabungan itu, Jamal berjanji untuk membantu dan mempertahankan tindakan mereka.

"Pertama, mereka tidak suka peniaga menjual barangan tiruan, CD haram dan lucah. Di pasar malam, pihak berkuasa merampas CD dan barang-barang tiruan, tetapi mengapa istimewa untuk Petaling Street.

"Kedua, terdapat ramai warga asing yang menjalankan perniagaan di sana. Saya tidak melihat mana-mana rakyat Malaysia di sana.

"Ketiga, Petaling Street merupakan kawasan pelancongan. Anda perlu menjual produk dan kraf kita...Bukan barangan tiruan!

"Akhir sekali, kenapa risalah itu diedarkan. Saya nampak ia banyak di atas jalan. Itulah sebabnya ia mencetuskan kemarahan penunjuk perasaan," katanya kepada pemberita.

Jamal berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengenai isu-isu di Petaling Street.

Beliau memberi amaran bahawa jika tiada sebarang tindakan diambil, penunjuk perasaan akan kembali ke Petaling Street lagi dan kali ini, mereka akan datang lebih ramai.

"Para penunjuk perasaan berkata, lebih 10,000 akan datang lagi jika tiada sebarang tindakan, tetapi tarikhnya masih belum diketahui," katanya.

Jamal turut menggesa pihak polis menyiasat kekecohan di Petaling Street tetapi memberitahu mereka untuk berlaku adil semasa siasatan.

"Jangan hanya menyalahkan penunjuk perasaan. Siasat juga kumpulan Otai. Mereka yang melakukan provokasi terhadap peserta himpunan. Bukan mereka sahaja, saya juga akan marah.

"Jangan hanya menuduh mereka dengan sesuatu. Berlaku adillah kepada mereka," katanya.

Beliau mengulangi bahawa penunjuk perasaan tidak bermusuhan dengan peniaga Cina dan mereka berada di sana untuk mencari ahli Otai Reformasi.

Jamal telah dibawa masuk untuk bercakap dengan penunjuk perasaan dan akhirnya berjaya membuatkan mereka bersurai kira-kira pukul 7.15 petang Rabu.

Polis menyekat akses ke Jalan Petaling dan Bukit Bintang semasa perhimpunan tersebut.

Pada  pukul 7.42 petang, polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan secara beransur-ansur membuka sekatan untuk masuk ke Petaling Street.

Kedua-dua belah Jalan Tun Tan Cheng Lock akhirnya dibuka pada pukul 8.04 malam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata, dua peserta perhimpunan yang berumur 24 dan 30 tahun telah ditahan dan disiasat kerana menghasut orang ramai untuk melanggar sekatan polis di Petaling Street.

Jamal berkata, perhimpunan pada Rabu adalah satu kejayaan kerana ramai yang telah keluar untuk menyokong kepimpinan negara dan Perlembagaan.

"Lebih daripada 350,000 datang untuk perhimpunan tersebut. Ia adalah satu kejayaan," katanya.

Walaupun penunjuk perasaan adalah orang Melayu, Jamal berkata perhimpunan tersebut menunjukkan bahawa rakyat bersatu dan ketiadaan bukan Melayu disebabkan mesej provokatif yang disebarkan di media sosial.

"Ramai yang keliru dengan gambar dan video di media sosial mengatakan akan ada pergaduhan dan rusuhan.

"Lihatlah di Padang Merbok semalam, ia aman. Bukan sahaja ahli-ahli Umno, tetapi saya diberitahu bahawa ahli PAS dan PKR juga ada di sana," katanya.

Jamal berkata mereka akan berkumpul lagi jika Bersih mengadakan satu lagi perhimpunan dan kali ini, mereka akan menyertainya bagi menyatakan perasaan mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain