suria

Kes Bunuh Kevin Morais: Suspek Berusia 22 Tahun Ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang lagi suspek berusia 22 tahun, ditahan berhubung kes pembunuhan Anthony Kevin Morais menjadikan jumlah mereka ditahan reman untuk membantu siasatan seramai lima orang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Zainuddin Ahmad berkata tangkapan terbaharu itu dibuat semalam kira-kira pukul 5 petang di Kulim, Kedah.

"Suspek tidak bekerja dan kita tahan reman selama tujuh hari bermula hari ini. Sehingga sekarang lima suspek dalam tahanan untuk siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Zainuddin dalam pada itu berkata polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan satu kemalangan jalan raya di Jalan Duta Mas pada 4 September lepas, terutamanya maklumat daripada pemandu atau penumpang kenderaan pelbagai guna Toyota Estima berwarna putih yang berhenti melihat kejadian itu (seperti di dalam rakaman video), agar menghubungi polis.

"Kejadian kemalangan itu lebih kurang pukul 7.51 pagi yang dipercayai mempunyai kaitan ke atas penculikan Morais ketika itu. Sebarang maklumat orang ramai boleh menghubungi mana-mana balai polis atau hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115999.

Morais yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara dilaporkan hilang sejak 4 Sept lepas, mayatnya ditemui disimen  dalam sebuah tong dram di dalam sebuah parit di Subang Jaya, awal pagi semalam selepas seorang daripada suspek membawa pihak polis ke lokasi tong itu di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah berhampiran Sungai Klang.

Morais, 55, kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan  memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA 6264 Q.

Polis, Kevin Morais

Artikel Berikut

Artikel Lain