suria

Kevin Morais: SPRM Ucap Takziah Kepada Keluarga Mendiang

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemui, Rabu.

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata kehilangan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara itu merupakan kerugian besar kepada institusi penegak undang-undang negara ini.

"Seluruh warga kerja SPRM bersimpati dengan kejadian yang menimpa mendiang Kevin Morais dan berharap keluarga mendiang tabah dengan dugaan itu," katanya.

Kevin Morais berkhidmat dengan penuh dedikasi dan cemerlang di SPRM selama 10 tahun sebelum kembali ke Jabatan Peguam Negara pada Julai 2014.

Dalam pada itu, SPRM mengucapkan tahniah kepada pihak polis yang berjaya merungkai misteri kehilangan mangsa dan berharap mereka yang bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan terhadapnya segera dibawa ke muka pengadilan.

Pagi tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh mengesahkan mayat yang ditemui dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya, Selangor merupakan mayat Anthony Kevin Morais yang dilapor hilang sejak 4 September lalu ketika memandu kereta untuk ke pejabatnya di sini.-- Bernama

SPRM, Kevin Morais

Artikel Sebelum

Artikel Lain