suria

Dua Penyakit Berkaitan Masalah Penafasan Meningkat

Gambar hiasan.

MELAKA: Kes penyakit berkaitan saluran pernafasan dan  asma di Melaka menunjukkan peningkatan berikutan jerebu yang melanda negara ketika ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ghazali Othman berkata, berdasarkan rekod seramai 1,716 pesakit yang mengalami penyakit berkaitan saluran pernafasan mendapat rawatan di hospital dan klinik kerajaan dari 7 hingga 13 September berbanding 1,454 pesakit pada minggu sebelumnya.

"Dua penyakit ini meningkat dengan amat ketara disebabkan IPU (Indeks  Pencemaran Udara) mencatatkan bacaan tidak sihat dan kebanyakan pesakit  yang mendapatkan rawatan adalah golongan dewasa.

"Kita juga telah edarkan topeng muka kepada semua hospital dan klinik di negeri ini bagi keperluan kumpulan berisiko ini," katanya kepada pemberita selepas melawat bayi Hari Malaysia di Hospital Melaka, di sini Rabu.

Beliau berkata jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan bagi penyakit asma turut meningkat iaitu sebanyak 398 kes dalam tempoh sama berbanding 389 pada minggu sebelumnya.

Dr Ghazali juga berkata jumlah pesakit yang mendapat rawatan mata akibat jerebu kekal sebanyak 82, sama seperti minggu terdahulu.

Tiga daerah - Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin - mula dilanda jerebu sejak 24 Ogos lepas.

Dr Ghazali turut menasihatkan orang ramai agar tidak menjalankan aktiviti di luar rumah bagi mengelakkan penyakit berkaitan pernafasan.

Pada Selasa semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka diarahkan tutup oleh Kementerian Pendidikan berikutan IPU menghampiri 200.

Sementara itu, seramai 17 bayi Hari Malaysia selamat dilahirkan di Hospital Melaka iaitu 11 lelaki dan enam perempuan sehingga pukul 1 tengah hari Rabu.

Siti Rafidah Mohd Daud, 28, dari Ayer Paabas, Alor Gajah berkata pengalaman melahirkan anak sulungnya, bayi lelaki seberat 2.8 kilogram pada 7.14 pagi Rabu, amat manis kerana berkongsi tarikh yang cukup bermakna untuk negara dan masyarakat Malaysia.

penyakit, jerebu

Artikel Lain