suria

"Arwah Siti Nurolshlizan Ibarat Ibu Kedua Kami" - Adik

Allahyarham Siti Norulshlizan ketika diiringi ahli keluarga ketika berangkat menunaikan haji di Kelana Jaya baru-baru ini.

SHAH ALAM: "Arwah ibarat ibu kedua kami" demikian luahan hati adik Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, jemaah haji Malaysia yang disahkan terkorban dalam tragedi kren tumbang di Makkah, Jumaat lepas.

Siti Sarah, 30, berkata, kakak sulungnya itu merupakan tempat kesemua enam adik-beradiknya meluahkan perasaan dan semua masalah.

"Akak seorang yang pandai memberi motivasi, dia bijak menaikkan kembali semangat kami apabila kami dilanda masalah. Sikapnya yang lemah-lembut dan memahami pasti akan kami rindui," katanya dalam nada sebak kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Denai Alam di sini, Isnin.

Siti Nurolshlizan meninggalkan suami, Mohd Fazlin Ismail, 37, serta tiga anak, Siti Nurul Najihah, 14, Siti Nurul Nadiah, 10, dan Eiman Basheer, 5.

Siti Sarah berkata berita pemergian kakaknya itu dimaklumkan kepada keluarganya oleh Tabung Haji (TH) yang menghubungi Mohd Fazlin kira-kira 11.30 malam Ahad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan berkata setakat ini, lima jemaah haji dari Malaysia disahkan terkorban dalam tragedi itu.

Selain Siti Nurolshlizan, turut disahkan meninggal dunia ialah Rohana Ismail, 54, Munah Jusoh, 73, Rusiah Suar, 56 dan Zainun Taha, 69.

Kata Siti Sarah lagi, beberapa hari sebelum kejadian, kakaknya ada menghubungi beliau dan keluarga memberitahu bahawa dia ada berdoa di hadapan Kaabah memohon supaya ibu mereka, Siti Aisah Sheikh Hussin, 63, turut diberi peluang mengerjakan haji.

"Syukur doa itu dimakbulkan, tidak lama selepas kakak memberitahu hal itu, TH ada menghubungi ibu bahawa beliau terpilih untuk menunaikan haji, dan diminta menyediakan barang-barang kelengkapan.

"...dan syukur Alhamdulillah impian kakak supaya ibu dan ayah ke tanah suci tercapai," katanya.

Siti Nurolshlizan pergi menunaikan haji bersama ayahnya, Zolkifli Yusoff, 62, dengan menaiki penerbangan pada Rabu lepas dan dijangka pulang ke tanah air pada 16 Oktober ini.-- Bernama


Artikel Lain