suria

Jerebu: Azmin Saran Kerajaan Pusat Semak Semula SOP Tutup Sekolah

Murid Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai, Melaka memakai topeng hidung dan mulut sebagai langkah keselamatan ekoran keadaan jerebu hari ini. Sehingga 3 petang Isnin, Indeks Pencemaran Udara di Bukit Rambai ialah 163 iaitu pada tahap tidak sihat.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menyarankan agar kerajaan Pusat menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) bagi penutupan sekolah berkaitan masalah jerebu.

Berikutan itu, kata beliau, adalah wajar guru besar atau pengetua sekolah diberi kuasa menutup sekolah sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat bacaan 160 berbanding 200 pada masa ini sebagai langkah keselamatan kesihatan kepada pelajar.

"Sekarang Majlis Kebangsaan berkenaan (menetapkan) masalah jerebu hanya apabila IPU cecah 300, sekolah wajib ditutup dan kalau 200, ia terpulang kepada budi bicara guru besar ataupun pengetua untuk berbuat demikian.

"Tetapi sekarang keadaan jerebu sudahpun jejaskan kesihatan pelajar dan harap kerajaan dapat memberi kuasa menutup sekolah sekiranya IPU mencapai 160 demi keselamatan pelajar," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Peletakan Batu Asas Hospital Pakar DEMC di sini, Isnin.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini berkata sekolah perlu ditutup apabila bacaan IPU di sesebuah kawasan melebihi 200 dan perlu memberhentikan aktiviti luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 150.

Berdasarkan laman web Jabatan Alam Sekitar sehingga 11 pagi, Banting adalah antara kawasan di Selangor yang mencatatkan IPU paling tinggi iaitu 175, diikuti Pelabuhan Klang (165), Shah Alam (147), Kuala Selangor (146) dan Petaling Jaya (143).

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Khusrin Munawi untuk menempah penutup muka bagi diedarkan secara percuma kepada rakyat di beberapa lokasi tumpuan awam di Selangor.

Mengenai majlis hari ini, beliau berkata pihaknya menyokong usaha Hospital Pakar DEMC yang sedang membangunkan sebuah hospital pakar wanita dan kanak-kanak yang diberi nama "DEMC Women's and Children's Hospital" di Shah Alam bagi memenuhi permintaan dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi serta Pediatrik.

"DEMC juga perlu mempromosikan produk di peringkat global dan rantau ini untuk menjayakan pelancongan perubatan memandangkan ramai pelancong datang ke negara ini bagi rawatan kesihatan," katanya.

Hospital moden bernilai RM220 juta yang bakal mempunyai 19 tingkat itu dibina atas kawasan seluas 0.8 hektar (dua ekar) dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2018.

Ia bakal dilengkapi 150 bilik pesakit, tiga bilik bedah, lapan bilik bersalin, empat bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat bilik Unit Rawatan Intensif Neonate (NICU).

Hospital itu bakal memberi peluang pekerjaan kepada 800 anggota profesional.-- Bernama 


SOP, jerebu, Azmin Ali

Artikel Lain