suria

Keluarga Kevin Morais Tawar Wang RM100,000

Anthony Kevin Morais

PETALING JAYA: Selepas seminggu tanpa sebarang petunjuk terbaharu, adik kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Anthony Kevin Morais yang hilang menawarkan  ganjaran RM100,000 kepada sesiapa yang mempunyai maklumat sehingga membawa kepada penemuannya.

Charles Morais berkata, beliau sudah hilang sabar dengan siasatan pihak polis yang didakwa perlahan dan hanya mendapat beberapa jawapan.

"Saya terkejut mengapa polis mengambil masa empat hari hanya untuk menyemak rakaman CCTV melihat bagaimana adik saya hilang.

"Mereka juga berkata  akan mengambil masa seminggu untuk menentukan jika kereta yang terbakar adalah milik Kevin tetapi masih tiada jawapan," katanya.

Charles berkata, beliau bersedia untuk menawarkan RM100,000 untuk maklumat "boleh dipercayai dan boleh disahkan"  mengenai Kevin dan beliau sedang mempertimbangkan untuk melantik penyiasat persendirian yang berpangkalan di Amerika Syarikat  untuk menjalankan siasatan kes ini.

Katanya, beliau juga bercadang untuk mengupah peguam untuk memantau siasatan polis.

"Saya tidak kisah apa yang polis fikir. Saya hendak mencari abang saya dan saya akan menggunakan segala sumber yang ada untuk mencari dia dan mengesan penculik," kata Charles, sambil menambah bahawa percubaan untuk menghubungi pihak polis dalam kes abangnya tidak berjaya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai DPP hilang boleh menghubungi Charles di [email protected].

Kevin dilaporkan hilang selepas meninggalkan kediamannya di Menara Duta, pada 4 September lalu  ketika menuju ke pejabatnya di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana bewarna kelabu plat pendaftaran WA6264Q.

Menurut laporan, sekurang-kurangnya empat suspek mengikut Kevin dengan menaiki kereta berlainan melalui trafik sesak ketika dalam perjalanan untuk bekerja sebelum dicekup di Bangsar.

Charles Morais, Tawar RM100, 000

Artikel Lain