suria

Dokumentari Al-Jazeera Mengenai Altantuya Tidak Benar - Polis

Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Polis mengatakan dokumentari mengenai kematian wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, yang disiarkan agensi media Al-Jazeera baru-baru ini, adalah satu laporan berdasarkan dakwaan tidak benar.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan atas kenyataan yang dikhuatiri mendatangkan khianat awam.

Beliau berkata polis percaya terdapat pihak tertentu menyalurkan maklumat tidak benar, yang dikaitkan terlibat dengan wartawan yang menyediakan dokumentari itu.

"Anda (Al Jazeera), buat laporan berdasarkan dengar cakap, cuba wujudkan sesuatu daripada tiada dan dengar daripada orang yang tidak bercakap benar. 

"Kami dah selesaikan siasatan dan kes dibawa ke mahkamah, dan ia telah diputuskan...apa yang anda cuba lakukan?," katanya semasa menjawab soalan wartawan agensi itu dalam sidang media selepas Mesyuarat Biro Maritim Antarabangsa di sini, Isnin.

Khalid berkata pihaknya juga sedang memantau pihak yang memberi maklumat tersebut kepada wartawan berkenaan dan akan mengambil tindakan terhadap mereka.

Malah beliau membidas dokumentari itu, yang seolah-olah cuba meletakkan bukti baharu dalam kes tersebut, sedangkan kes berkenaan telah selesai dibicarakan di mahkamah.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak berkata semua yang dipaparkan dalam dokumentari Al Jazeera itu adalah semata-mata bersandarkan kepada perkara dengar cakap dan tidak berdasarkan sebarang bukti nyata.-Bernama

Al-Jazeera, Altantuya Shaariibuu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain