suria

Tentera Darat Komited Cari Tujuh Murid Orang Asli Yang Hilang

Kelihatan penduduk kampung dan anggota Jabatan Relawan Malaysia (Rela) berkumpul sebelum melancarkan operasi mencari di Kampung Pos Tohoi di sini, Ogos lalu.

PORT DICKSON: Tentera darat akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat tujuh murid Orang Asli yang hilang di Gua Musang, Kelantan sejak 23 Ogos lepas.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed berkata pihaknya komited dengan operasi yang turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Kemajuan Orang Asli.

"Daripada lebih 300 anggota agensi yang terlibat dalam operasi itu, lebih 200 adalah anggota tentera darat. Kita turut menghantar unit anjing pengesan untuk membantu operasi itu.

"Di sini bolehlah saya rumuskan tentera darat komited untuk mengesan tujuh murid Orang Asli yang hilang itu," katanya kepada pemberita selepas majlis perbarisan tamat latihan perajurit muda di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, Sabtu.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Menurut Raja Mohamed Affandi, setakat ini tempoh pencarian itu tidak ditetapkan.

Pada masa sama, katanya, jika operasi itu dihentikan nanti, tentera darat bercadang menggunakan kawasan tersebut sebagai tempat latihan hutan untuk anggotanya.

"Itu arahan yang akan saya keluarkan untuk menjadikan tempat itu kawasan latihan hutan," katanya.

Pada 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara tujuh dan 11 tahun dilaporkan hilang selepas melarikan diri dari asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di Gua Musang kerana takut dikenakan tindakan oleh guru kerana didapati mandi di sungai tanpa kebenaran.

Sementara itu, Raja Mohamed Affandi meminta cadangan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik untuk menarik minat kaum Cina dan India menyertai tentera.

"Bagaimanapun, saya yakin mereka ini akan tampil menyertai ATM ketika negara memerlukannya. Tapi kalau boleh waktu ini, kita isikan sedikit komposisi kaum Cina dan India.

"Rakyat Malaysia harus sedar mempertahankan kedaulatan negara terletak di bahu kita semua. Oleh itu, saya menyeru anak-anak muda daripada pelbagai kaum supaya tampil menyertai ATM," katanya.

Seramai 1,553 perajurit muda terdiri daripada 1,523 lelaki dan 30 wanita berjaya menamatkan latihan mereka selama enam bulan hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Azizul Mat Safie diumumkan sebagai Perajurit Muda Lelaki Keseluruhan Terbaik, manakala Muhammad Zaireen Zailan Akram (Akademik Terbaik), Muhammad Izuan Lamat (Jasmani Terbaik), Mohammad Aniq Akmal Saini (Kawad Terbaik) dan Mohd Akmal Aziz (Penembak Terbaik).-- Bernama

tentera darat, Orang Asli, Gua Musang

Artikel Berikut

Artikel Lain