suria

Tidak Pernah 'Beli' Pemimpin Umno - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan hadirin ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pekan, Sabtu.

PEKAN: Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu menegaskan beliau tidak pernah "membeli" ketua bahagian atau perwakilan parti untuk meraih sokongan mereka terhadapnya.

Beliau berkata apa yang dilakukan hanya membantu parti melalui ketua bahagian untuk mengadakan program tertentu untuk rakyat.

"Ada ketua bahagian hanya bekas pegawai tadbir diplomatik (PTD) sahaja, banyak mana harta mereka...kalau nak buat program.. 'selak' (teruk lah) dia.

"Jadi kalau saya bantu itu untuk parti dan bukannya beli ketua bahagian," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Syah di sini.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Ketua Bahagian Pekan Datuk Abu Bakar Harun.

Persidangan perwakilan itu hari ini melengkapkan 191 mesyuarat perwakilan bahagian parti itu yang bermula sejak 27 Julai lepas.

Najib, yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan, seterusnya menegaskan: "Seumur hidup saya dah bertanding banyak jawatan tapi tidak pernah saya beli perwakilan...saya tidak pernah buat. Kalau ada yang kata saya buat demikian, itu adalah fitnah."

Beliau berkata segala tindakan yang diambil adalah bertujuan mengukuhkan parti supaya dapat terus bergerak ke hadapan.

Najib menarik perhatian bahawa adalah tidak wajar untuk menyamakan cara kepimpinan beliau dengan pemimpin terdahulu kerana masing-masing mempunyai cara dan pendekatan tersendiri dalam menerajui parti.

Dalam ucapannya, Najib turut mengingatkan anggota perwakilan mengenai cabaran politik baharu yang dipengaruhi perkembangan media sosial.

Katanya, jika sebelum ini senjata yang diguna untuk merosakkan dan menjatuhkan imej pemimpin adalah terbatas, namun dengan perkembangan media sosial kini semuanya di hujung jari.

"Melalui media sosial, kini mudah untuk racun fikiran rakyat supaya bencikan pemimpin, kebaikan yang dibuat sekian lama tidak dipandang, tapi satu dua kesalahan yang dibuat itu akan diperbesar-besarkan seolah-olah langit nak jatuh.

"Kini perkara itu berlaku pada saya sebab saya presiden parti. Biasanya mereka akan serang kepala parti, kalau kepala parti hilang kepercayaan, maka mudahlah parti itu tumbang bila-bila masa, itu formulanya," kata Najib.

Mengambil contoh isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribu, Najib berkata isu itu sengaja ditimbulkan semula untuk menjatuhkan imej beliau.

"Saya tidak pernah jumpa seumur hidup saya dengan wanita ini dan walaupun telah tiga kali bersumpah di masjid, (ada yang) masih tidak percaya dan perkara ini dibangkitkan lagi.

"Ini politik untuk menjatuhkan pemimpin, seolah-olah ada konspirasi menjatuhkan Umno sebagai parti yang menunjangi kepimpinan dan pentadbiran negara," katanya.

Justeru, Najib berkata anggota Umno perlu bijak dan mempunyai kebolehan untuk menyaring maklumat dan mengenal pasti senario politik baharu itu supaya tidak mudah dipesongkan oleh maklumat tidak sahih yang boleh merosakkan kejayaan negara.

Dalam pada itu, Najib turut mengulangi pendirian untuk terus menerajui kerajaan dan parti selagi mendapat sokongan, dan yakin mampu mendepani segala masalah dan kemelut politik yang dihadapi kini dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan anggota parti.-- Bernama

Umno, Perdana Menteri, Pekan

Artikel Sebelum

Artikel Lain