suria

Rakyat Umpama 'Anjing Salak Babi Di Bukit' - Hadi

Hadi Awang

SHAH ALAM: Presiden PAS menyifatkan tekanan rakyat terhadap pengurusan pentadbiran Barisan Nasional (BN) bukan seperti 'anjing menyalak bukit' atau melakukan perbuatan sia-sia.

Jelas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, perjuangan rakyat menerusi pelbagai tindakan adalah isyarat penting bagi memberi teguran kepada kerajaan terutama dalam menguruskan ekonomi negara dengan baik.

"Orang boleh kata kita macam anjing salak bukit sahaja...ya macam anjing salak bukit.

"(Hakikatnya) anjing tak salak bukit, tapi anjing menyalak babi yang ada di bukit itu.

"Ini yang sebenarnya. Kita tak salak bukit. Tapi menyalak (menegur) kelemahan yang berlaku dan najis-najis yang memalitkan kita semua," katanya ketika menyampaikan ucaptama di Kongres Rakyat di sini, Sabtu.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, Kongres Rakyat yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membabitkan parti politik negara ini adalah platform terbaik untuk mencari jalan penyelesaian bagi membina negara yang sejahtera, selamat dan bebas daripada tekanan ekonomi.

"Kongres hari ini mengajar kita bertukar fikiran walaupun kita adalah golongan yang lemah.

"Sebab itu kami memperkenalkan acuan Islam dalam menjayakan matlamat ini," katanya.

Tambah Hadi lagi, sikap parti-parti politik yang sentiasa bercakaran juga menyebabkan pelbagai masalah yang melibatkan kepentingan rakyat terabai.

"Kita tak pandai guna sumber manusia. Kita tak menggunakan sikap kemanusiaan yang sebenar yang ada pada kita.

"Kenapa sibuk bercakaran antara satu sama lain? Kita mengaku PAS juga bercakar, Umno juga bercakar, semua parti-parti bercakar antara satu sama lain.

"Bercakar dalaman, bercakar antara kaum. Sama-sama kaum pun bercakar," katanya.



Hadi Awang, Kongres Rakyat, BN

Artikel Berikut

Artikel Lain