suria

Jemaah Malaysia Bersyukur Terselamat Untuk Teruskan Ibadat Haji

MAKKAH: Jemaah haji Malaysia yang cedera dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram yang mengorbankan lebih 100 nyawa, bersyukur kepada Ilahi kerana terselamat hingga membolehkan mereka meneruskan ibadat haji.

Jemaah mempunyai 10 hari saja lagi sebelum tiba waktu berwukuf di Arafah - rukun utama dalam ibadat haji.

Mereka melihat tragedi itu sebagai ujian besar atas umat Islam agar lebih bertakwa kepadaNYA.

"Semua ini ujian Allah, ketika kejadian mungkin ramai yang lalai, berebut-rebut mengambil video ribut pasir sehingga terlupa itu rumah Allah," kata Mohd Sharif Meon, 64, dari Meru, Klang.

Ketika kejadian itu dia sedang berjalan menuju ke pintu 25 Marwah, di kawasan saie.

Tiba-tiba dia bersama isterinya tercampak beberapa meter sebelum ditarik (diselamatkan) oleh jemaah lain. 

"Saya dengar orang menjerit dan terjatuh, ramai yang berdarah terkena serpihan batu," katanya yang cedera di bahagian bahu.

Dia kini dirawat di pusat rawatan kecemasan Tabung Haji di bangunan Abraj Al-Janadriah, di sini. 

Seorang lagi jemaah, Rusiah Baba, 50, berasal dari Gombak, Selangor berkata ketika kejadian dia dan ibunya sedang bersolat di kawasan mataf, berdekatan Kaabah.

Dia yang kini dirawat di pusat rawatan kecemasan yang sama bersyukur kerana terselamat bersama ibunya. 

"Ketika kejadian jemaah haji agak leka mengambil gambar ribut pasir di kawasan Kaabah dan tiba-tiba terdengar dentuman, keadaan jadi kelam kabut, debu, kayu dan besi berterbangan, saya lihat terdapat jemaah yang berlumuran darah," katanya. 

Sementara itu, Faridah Mat Yaakob, 46, dari Bachok, Kelantan berkata, dalam kejadian berkenaan suaminya, Mat Deris Mohd Nor, 62, pengsan selepas ditimpa serpihan batu.

"Saya memangku suami, mengajar dia mengucap dan meminta tolong kepada orang ramai," katanya.

Menurutnya, beberapa jemaah lain kemudiannya membantu mengangkat suaminya ke hospital. 

Katanya, dia bersyukur dirinya dan suami terselamat dalam kejadian berkenaan walaupun mengalami luka kecil di bahagian kepala dan tangan.

Sementara itu Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata 10 jemaah haji yang cedera diberikan rawatan dan seorang daripada mereka telah dibenarkan pulang ke penginapannya jam 10 pagi tadi. 

Seorang masih ditempatkan di Hospital Raja Abdul Aziz, Hospital Raja Faizal (1 orang), Hospital An Nur (1 orang), pusat rawatan kecemasan Tabung Haji di bangunan Abraj Al-Jandriah (enam orang). 

Dalam kejadian 5 petang semalam (Jumaat), lebih 100 jemaah haji dilaporkan terbunuh bila sebuah kren tumbang dan menimpa jemaah yang berada di kawasan saie berikutan hujan lebat dan ribut pasir di kawasan Masjidil Haram. 

Sebanyak lapan jemaah Malaysia dilaporkan masih hilang, dan TH sedang menggerakkan petugasnya bagi mengesan jemaah terbabit. -- Bernama

Malaysia, Masjidil Haram, Makkah

Artikel Berikut

Artikel Lain