suria

1MDB: Khairuddin Akan Saman Ketua Pemuda Umno Batu Kawan

Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan akan mengemukakan saman malu terhadap Ketua Pemuda Umno Bahagian Batu Kawan, Mohamad Hilme Ibrahim kerana memfitnahnya berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang juga bekas naib ketua Umno bahagian berkenaan berkata, setakat ini beliau sedang berbincang dengan peguamnya untuk melaksanakan tindakan itu.

"Tindakan ini diambil kerana kenyataan Hilmie kononnya laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang saya buat itu palsu.

"Ketika itu, semua laporan yang dibuat belum lagi disiasat dan kini jelas ada pihak berkuasa yang telah bertindak susulan laporan yang saya kemukakan.

"Oleh itu, kenyataan Hilmie adalah suatu jenayah fitnah," katanya kepada mStar Online.

Kata Khairuddin, setakat ini, pihaknya percaya perkembangan terkini kes berkaitan 1MDB memberi ruang untuknya mengambil tindakan undang-undang terhadap Hilmie.

Januari lalu, Hilmie meminta SPRM menyiasat Khairuddin berhubung laporannya terhadap 1MDB kerana mendakwa laporan yang dibuatnya palsu dan mempunyai elemen rasuah.

Ketua Pemuda Umno bahagian itu juga mendakwa Khairuddin masih gagal mengemukakan bukti susulan laporannya itu.

Pada 12 Disember tahun lalu, Khairuddin turut membuat laporan polis terhadap 1MDB dan syarikat subsidiarinya atas dakwaan urusniaga kewangan syarikat yang meragukan.

Beliau turut mendakwa sehingga Mac tahun lalu, syarikat berkenaan mempunyai hutang berjumlah sehingga RM41.9 bilion, dan meletakkan syarikat berhadapan dengan risiko diisytihar bankrap dan sekaligus akan membebankan kerajaan Persekutuan yang merupakan penjamin kepada pinjaman berkenaan.

Selain itu, Khairuddin juga ke Perancis, Switzerland, Hong Kong dan Singapura untuk membuat laporan berhubung isu sama.

 

Artikel Sebelum

Artikel Lain