suria

Keluarga Terkejut Ibu Bapa Cedera Kejadian Kren Tumbang Di Makkah

Ahmad Qiumawuddin Idris 28, menunjukkan gambar ibubapanya Mat Deris Mohd Nor, 62, dan Faridah Mat Yacob,46, yang cedera ekoran kejadian kren tumbang di Masjidil Haram di kediaman mereka di Kampung Cherang Sepilai pada Sabtu. -fotoBERNAMA

BACHOK: Anak jemaah haji yang cedera dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram Makkah tidak menyangka kedua-dua ibu bapanya akan terlibat dalam kejadian itu selepas seminggu bertolak ke tanah suci.

Ahmad Qiumawuddin Idris, 28, berkata beliau mengetahui berita tersebut melalui seorang rakan yang menghubunginya pada pukul 2 pagi tadi.

"Dia meminta saya mengesahkan gambar yang tersebar di aplikasi WhatsApp.

Saya amat terkejut dan luluh hati saya selepas mendapati gambar tersebut adalah kedua-dua orang tua saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherang Sepilai di sini, Sabtu.

Beliau berkata ayahnya Mat Deris Mohd Nor, 62, dan ibunya, Faridah Mat Yacob, 46, bertolak ke Tanah Suci Jumaat pada 4 Sept melalui penerbangan dari Kuala Terengganu.

"Mak memang teruja kerana selepas tiga kali membuat rayuan dia akhirnya terpilih menunaikan haji bersama ayah tahun ini," katanya.

Dalam kejadian yang berlaku di Makkah semalam, 10 jemaah haji dari Malaysia mengalami kecederaan dengan tiga daripada mangsa berasal dari Kelantan.

Mereka ialah Mat Deris dan isterinya, Faridah serta Abdul Razak Mahmood, 61, yang berasal dari Tanah Merah.

Ahmad Qiumawuddin berkata sehingga kini abangnya hanya dapat menghubungi ibunya yang memberitahu cuma mengalami kecederaan ringan.

"Kami masih menunggu perkembangan lanjut mengenai ayah kerana dimaklumkan ayah mengalami patah sebelah kaki dan kini dirawat di Hospital King Abdul Aziz.

"Kami harap mak dan ayah selamat dan dapat menunaikan haji seperti mana yang dirancang sebelum ini," katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Tabung Haji (TH) akan memastikan semua jemaah yang terlibat dalam kejadian itu mendapat perhatian yang sewajarnya.

"Perkara ini di luar jangkaan. Kita harap keluarga mangsa dapat bertenang.

TH akan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah yang terlibat dan akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Mat Idris di sini, Sabtu.

Makkah, Kren, Masjidil Haram

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain