suria

Peletakan Jawatan Penasihat 1MDB Tarik Perhatian Nazir Razak

Datuk Seri Nazir Razak
PETALING JAYA: Peletakan jawatan Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Dr Abdul Samad Alias ​​telah menarik perhatian Datuk Seri Nazir Razak.

"Seorang yang dihormati, jujur, profesional yang dilantik oleh Kerajaan dan dialu-alukan kehadirannya oleh Pengerusi.

"Tetapi dinafikan akses maklumat oleh pihak pengurusan. Jika ini adalah benar dan ditoleransi, apakah mesej yang dihantar kepada agensi/GLC lain?," tanya pengerusi CIMB Group ini dalam akaun Instagram beliau, Selasa.

Dr Abdul Samad telah dilaporkan berkata bahawa beliau meletak jawatan sebagai ahli lembaga penasihat 1MDB selepas lebih enam bulan berkhidmat.

Berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Risiko, Pengawalan dan Penyeliaan pada Isnin, beliau berkata beliau meletak jawatan kerana permintaan berulang kali selama beberapa bulan untuk sesi taklimat mengenai hal ehwal 1MDB tidak pernah dilayan.

"Saya dilantik sebagai ahli panel penasihat untuk 1MDB pada Januari 2015," beliau dipetik sebagai berkata oleh sebuah portal berita.

Beliau kemudiannya membuat permintaan untuk sesi taklimat mengenai hal ehwal 1MDB, terutamanya ke atas keuntungan dan kerugian, yang didakwa tidak pernah diberi akses.

Katanya, beliau menyerahkan surat peletakan jawatan pada 29 Julai.

1MDB, dalam satu kenyataan pada Isnin berkata ia menghormati sepenuhnya keputusan Dr Abdul Samad.

Ia menambah, lembaga pengarah dan pemegang saham  1MDB akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelan rasionalisasi.

Artikel Lain