suria

Pelajar Tingkatan Satu Maut Digilis Lori

BUKIT MERTAJAM: Seorang pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah di sini maut selepas motosikal yang diboncengnya terlibat dalam kemalangan sebelum digilis treler di Jalan Mengkuang, pada Sabtu.    

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, Tan Wei Chuan, 13, maut ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala.   

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Rusli Mohd Noor berkata ketika kejadian mangsa membonceng motosikal yang ditunggang ibunya, Dameria Nurcahaya, 34, seorang warga Indonesia, dari arah Jalan Mengkuang Titi, Sungai Lembu.   

"Wanita itu baharu sahaja mengambil anaknya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jit Sin dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kulim, Kedah," katanya ketika dihubungi.   

Beliau berkata kemalangan itu berlaku ketika wanita berkenaan dipercayai cuba memotong treler muatan besi terbabit, tetapi gagal apabila ada sebuah kereta datang dari arah bertentangan.

"Motosikal dinaiki dua beranak itu kemudian bergesel dengan bahagian belakang lori terbabit menyebabkan mangsa terjatuh sebelum digilis," katanya.   

Rusli berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat manakala ibu pelajar itu yang cedera di lutut dirawat di hospital sama.   

Katanya pemandu lori terbabit melarikan diri daripada tempat kemalangan tetapi membuat laporan polis selepas itu.   

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kataRusli.

pelajar maut, digilis lori

Artikel Lain