suria

19 Mangsa Bot Karam Direman

KUALA SELANGOR: Mahkamah Majistret Kuala Selangor mengeluarkan perintah tahanan reman selama 14 hari bermula Jumaat ke atas 19 warga asing yang terselamat dalam tragedi bot karam di perairan Sabak Bernam, pada Khamis.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim bagi membolehkan kesemua yang terselamat itu termasuk seorang wanita disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 iaitu kesalahan memasuki dan keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak dibenarkan atau jalan yang tidak diwartakan.

Menurut sumber Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), siasatan pihaknya akan turut meliputi Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 sekiranya didapati ada dalam kalangan 19 yang direman itu merupakan tekong bot berkenaan.

"Sehingga kini kita masih belum dapat pastikan sama ada ada antara mereka yang terselamat ini merupakan tekong bot berkenaan. Jika ada, selain siasatan di bawah Akta Imigresen kita juga akan jalankan siasatan mengikut Seksyen 26J iaitu bagi kesalahan mengangkut migran yang diseludup," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Setakat ini, mayat 13 wanita dan 2 lelaki ditemui manakala 19 lagi termasuk seorang wanita terselamat selepas bot yang membawa kira-kira 70 penumpang karam di perairan Sabak Bernam pagi Khamis.

Bot sepanjang 12.192 meter itu karam ketika dalam perjalanan dari Kuala Sungai Bernam menuju Tanjong Balai, Indonesia.

Insiden berlaku pada kedudukan sembilan batu nautika di barat daya Tanjong Sauh.

Sabak Bernam, Indonesia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain